KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa Tan Sri Annuar Musa berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimetrai pada Isnin merupakan satu permulaan kerjasama antara kerajaan dengan Pakatan Harapan.

Malah Ahli Parlimen Ketereh itu juga percaya langkah ini kelak akan disusuli oleh parti-parti pembangkang lain dalam usaha mentransformasikan serta menstabilkan politik negara demi rakyat.

“Memorandum ini adalah hasil pertukaran pandangan dan pemikiran dengan satu semangat iaitu konsep inklusif yang ditawarkan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan, daripada situ terbitlah beberapa keranga kerjasama yang telah dipersetujui kedua belah pihak.

"Yang penting, pembangkang adalah terjamin memainkan peranan sebagai pembangkang. Ini bukan jajaran baru politik, ia merupakan satu keadah titik persamaan antara kerajaan dan pembangkang untuk jayakan bersama sebagai satu pendapat majoriti dalam parlimen.

"Ini satu permulaan antara kerajaan dengan Pakatan Harapan... kita percaya akan disusuli parti lain dalam saf pembangkang - Warisan, Pejuang, Muda, wakil rakyat Bebas, ia bukan eksklusif dalam PH.

BACA: Lakar sejarah, enam perkara dimeterai dalam MoU kerajaan dan pembangkang

"Kita bersetuju, butir yang dipersetujui bersama dengan PH. Boleh saja jika ada pihak lain ingin berkongsi pendapat, maka tindakan serupa akan dilakukan pihak kerajaan,” ujarnya.

BACA: PM Ismail Sabri seru Ahli Parlimen rapat saf demi negara dan rakyat

Terdahulu, Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama dua pihak dalams sejarah negara itu, sejajar dengan keputusan kerajaan seperti yang digariskan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titahnya yang mahu semua pihak mengamalkan demokrasi musyawarah.