Seorang warga emas tidak menyangka cicitnya iaitu bayi perempuan berusia 46 hari meninggal dunia akibat menjadi mangsa dera ibu dan bapa kandungnya.

Wanita berusia 70-an yang hanya mahu dikenali sebagai Tok Su itu berkata, cucu lelaki dan isterinya iaitu ibu bapa kepada Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum insiden berkenaan berlaku.

Malah, menurut Tok Su, ibu bayi tersebut juga merupakan seorang yang penyayang.

Jelasnya, cucu lelakinya itu tinggal di rumah bapa mereka bersama isteri dan dua anaknya selain kakak serta dua anak kembar.

Tok Su berkata dia tidak menetap dirumah di Kampung Tok Panjang kerana tinggal di sebuah pondok Agama Islam di Kubang Semang.

"Tok Su tidak tinggal sekali dengan mereka kerana duduk di sebuah pondok agama di Kubang Semang... tetapi memang selalu balik sebab ini rumah pusaka kami," katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Tok Panjang petang Jumaat.

Menurutnya, dia dibawa pulang ke rumah itu semalam dan hanya dimaklumkan cicitnya telah meninggal dunia.

Tok Su berkata cucu lelakinya mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun dan isterinya tidak bekerja berpantang di rumah berkenaan selepas melahirkan Nurul Ain Umariah.

Katanya, jenazah Nurul Ain Umairah akan dibawa balik ke rumah mereka di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah kira-kira jam 10 pagi esok sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam.

Bayi perempuan berusia 46 hari itu meninggal dunia kerana dipercayai didera dalam kejadian di Kampung Tok Panjang semalam selepas mengalami kecederaan teruk termasuk pendarahan dalam kepala serta otak.

BACA: Pasangan muda direman bantu siasatan kematian bayi 46 hari

BACA: Selain kemaluan cedera, bayi 46 hari 'makan' lantai, dinding dan pintu

Mangsa meninggal dunia ketika dibawa bapanya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya kira -kira jam 10.45 pagi.

Susulan itu, polis menahan ibu bapa bayi berkenaan semalam dan mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.