KLUANG: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang giat menghasilkan baka baharu kelapa sawit berketinggian 20 kaki bagi memudahkan pekebun kecil menuai hasil tanaman komoditi berkenaan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata meskipun pokok baka baharu itu lebih rendah ketinggiannya berbanding kelapa sawit asal yang mencecah 40 hingga 50 kaki, namun kualiti buah sawit dan hasil minyaknya masih sama.

"Berdasarkan rekod, kebanyakan pekebun kecil merupakan golongan warga emas.

"Dengan adanya baka baharu sawit yang rendah ini kita harap ia dapat membantu memudahkan mereka menuai sendiri (hasil) memandangkan sebelum ini ada yang mengupah pekerja asing.

"Pada masa sama MPOB sedang melakukan kajian bagi menghasilkan pengeluaran minyak sawit yang lebih banyak terhadap baka baharu berkenaan," katanya pada sidang media selepas Program Jom Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Peringkat Negeri Johor di Simpang Renggam di sini pada Ahad.

Sementara itu, menurut Wee sehingga kini 87 peratus pemilik kebun kelapa sawit memiliki sijil MSPO, manakala hanya sekitar 39 peratus pekebun kecil persendirian memiliki sijil berkenaan.

Katanya sijil berkenaan amat penting bagi memastikan produk sawit yang dihasilkan oleh ladang kelapa sawit, pekebun kecil dan kilang pemprosesan minyak sawit adalah mampan dan dapat diterima di pasaran global.

"Tiada masalah dengan pemilik kebun yang besar seperti estet dan ladang tersusun seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) kerana mereka telahpun mempunyai sijil MSPO, namun yang bermasalah adalah golongan pekebun kecil.

"Justeru itu, untuk tahun ini kita akan melaksanakan kempen kesedaran bagi menggalakkan lebih ramai pekebun kelapa sawit memiliki sijil MSPO, kita merancang untuk menguatkuasakan undang-undang pemilikan sijil berkenaan pada tahun depan," katanya.

-- BERNAMA