KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengambil alih semula pengurusan pembayaran tempat letak kereta berbayar di bandar ini, sejak 1 Sept lalu.

Pengguna kini boleh membuat bayaran parkir menggunakan Aplikasi Flexi Parking.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Mohd Anis Hussein berkata, pengumuman itu sudah dimaklumkan melalui portal jabatan untuk hebahan orang awam dan pengguna.

"Menerusi Aplikasi Flexi Parking, ia memudahkan pembayaran parkir dan kompaun dibuat bukan hanya kepada kenderaan sendiri, tetapi boleh juga untuk kenderaan lain pada masa yang sama.

"Kadar bayaran masih tidak berubah iaitu dari Sabtu hingga Khamis bermula 8 pagi hingga 6 petang melibatkan 30 minit atau sebahagiannya dicaj 40 sen, kadar maksimum sehari RM8 dan pas bulanan RM100, manakala pada Jumaat serta hari kelepasan am adalah percuma," katanya ketika ditemui pemberita di pejabat MPKB-BRI di sini.

Sebelum ini, MPKB-BRI melantik sebuah syarikat konsesi bagi urusan pembayaran parkir sejak lebih lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2023.

Mohd Anis berkata cara pembayaran parkir ialah tanpa tunai yang digantikan dengan Aplikasi Flexi Parking yang menggunakan kaedah imbas kod QR untuk muat turun melibatkan cara daftar aplikasi serta tambah nilai kredit.

Katanya, bagi orang awam yang masih mempunyai kompaun lama, mereka perlu membuat pembayaran terus di kaunter.

"Kaedah Flexi Parking ini masih dalam tempoh pengenalan dan turut diguna pakai oleh beberapa negeri di seluruh negara termasuk Kedah dan Perak.

"Bagi memudahkan orang awam yang belum biasa menggunakan kaedah ini, MPKB-BRI turut melantik ejen bagi memberi tunjuk ajar, selain ada pihak kami akan membantu," katanya. - BERNAMA