KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) komited untuk menubuhkan Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) Antarabangsa pertama di luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya kini dalam perbincangan dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) bagi penubuhan pusat berkenaan.

Beliau berkata, inisiatif pihaknya dengan UMSU itu bakal memperluas akses pendidikan dalam kalangan masyarakat di sekitar Sumatera Utara khasnya dan Indonesia umumnya untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing.

Katanya, inisiatif itu hasil perkongsian pihaknya dengan UMSU untuk mempromosikan agenda pendidikan fleksibel dan pengajian sepanjang hayat (PSH) yang sering diuar-uarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana universiti di kedua-dua negara mempunyai potensi tinggi berdasarkan keserumpunan bahasa dan budaya.

"Usaha UMSU untuk menjadi Pusat Penilaian APEL akan diperhalusi dalam perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia dan badan akreditasinya sebelum universiti ini menawarkan program melalui laluan alternatif APEL.

"MQA akan sentiasa memberi sokongan, khidmat rundingan dan panduan kepada IPT sama ada di Malaysia mahu pun luar negara untuk melaksanakan APEL kerana pasaran APEL ini sangat besar," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau menghadiri sesi perkongsian dan perbincangan MQA bersama UMSU bagi menyemarakkan inisiatif PSH dan pendidikan fleksibel di universiti terbabit.

Hadir sama, Rektor UMSU, Prof.  Agussani dan Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa.

Sementara itu, Agussani berkata, usaha yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama MQA itu membolehkan UMSU mendepani perubahan dan kekal relevan dalam dunia pengajian tinggi.

Katanya, UMSU mempunyai banyak kerjasama dengan universiti di Malaysia yang menjadi rakan strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar.

"UMSU berharap kerjasama yang terjalin dengan universiti di Malaysia dan negara lain akan menaikkan nama universiti ini di peringkat global," katanya.