PUTRAJAYA: Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) disaran memainkan peranan lebih agresif melalui program Creating Own Design as Own Brand bagi membantu industri tempatan dengan memberikan khidmat nasihat dan perundingan reka bentuk.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong berkata ketika ini, masih ramai dalam kalangan pemain industri mengamalkan pendekatan pengilang peralatan asal (OEM) walaupun kerajaan telah menjalankan pelbagai kempen galakan transformasi kepada jenama pengeluar asal (OBM).

Berucap pada Majlis Anugerah Reka Bentuk Baik Malaysia (MGDA) 2021 dan Certified Industrial Designer (CIDe) di sini malam tadi, beliau berkata reka bentuk adalah aspek penting yang perlu dititikberatkan dalam penghasilan sesebuah produk dan menjadi faktor penting dalam memperkukuhkan jenama, pembangunan produk dan juga meningkatkan daya saing sesebuah perusahaan.

"Dengan adanya bimbingan reka bentuk atau elemen reka bentuk diperjuangkan MRM, lebih banyak industri terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memahami kepentingan reka bentuk dan menitikberatkan elemen reka bentuk dalam penghasilan produk mereka.

"Program turun padang dan bantuan perlu ditambah di seluruh negara bagi mempertingkatkan kesedaran kepentingan reka bentuk yang berkualiti ke arah memperbaiki prestasi perniagaan. Ini seterusnya dapat melonjakkan lagi prestasi eksport syarikat masing-masing," katanya.

MRM adalah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang ditubuhkan pada 1993, antara lain bertindak sebagai badan pemikir dan penasihat program untuk melonjak kepakaran, keupayaan dan standard reka bentuk industri dalam negara.

MGDA pula adalah pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan untuk industri reka bentuk dalam usaha menyokong produk menjadikan reka bentuk yang baik sebagai kriteria penting dalam amalan penghasilan sesebuah produk.

Menurut Lim, bilangan produk yang memohon pengiktirafan MGDA telah meningkat daripada 107 produk pada 2015 kepada 326 produk pada 2018.

"Pada 2020 dan 2021, sebanyak 252 produk daripada pelbagai kategori telah diterima untuk penilaian dan dari jumlah tersebut sebanyak 26 produk daripada 19 syarikat didapati menepati spesifikasi ditetapkan sekali gus layak menerima pengiktirafan bagi MGDA 2021," katanya.

Pada majlis itu, buat julung kalinya turut diadakan penganugerahan CIDe kepada 16 individu, iaitu pengiktirafan tertinggi diberikan kepada pereka perindustrian tempatan. Kesemua 16 individu itu akan mengguna pakai gelaran CIDe pada nama mereka.

Sementara itu, Pengarah MRM Sulaiman Arshad berkata sebanyak 13 kategori disenaraikan dalam MGDA 2021 antaranya reka bentuk ruang tamu dan bilik tidur, aksesori, barangan kemas dan kraf.

"Pengiktirafan melalui anugerah berkenaan memberi gambaran bahawa industri reka bentuk negara sentiasa berkembang pesat dan memiliki kepakaran dalam penghasilan produk siap dan mereka perlu guna peluang untuk terus bekerjasama dengan MRM," katanya.

-- BERNAMA