PUTRAJAYA: Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) menyasarkan 10 penyertaan dari negara ASEAN bagi Anugerah Reka Bentuk Baik Malaysia (MGDA) tahun ini, kata Pengarahnya Husaini Ismail.

Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak satu syarikat masing-masing dari Indonesia dan Kemboja menghantar penyertaan untuk bersaing dengan syarikat tempatan bagi mendapatkan pengiktirafan MGDA.

"Sebelum ini kita buka untuk pereka dan syarikat tempatan sahaja tetapi sekarang kita rasa sebaiknya kita bersaing dengan negara luar di mana kita buka pintu untuk penyertaan dari luar.

"Kita mengharapkan penyertaan daripada syarikat yang produknya produk ternama kerana itu akan menguatkan (jenama) program ini di peringkat antarabangsa," katanya kepada media di Majlis Penganugerahan MGDA 2022 dan Pensijilan Certified Industrial Designer (CIDe) kepada 15 pereka tempatan, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Isham Ishak.

Husaini berkata setakat ini MRM belum menerima penyertaan dari negara luar namun sudah ada yang bertanya tentang program pengikitirafan itu.

Beliau dalam pada itu berkata dengan adanya pengikitirafan logo MGDA, ia secara tidak langsung akan memberi nilai tambah kepada produk berkenaan yang menunjukkan produk itu bukan sahaja cantik reka bentuk tetapi berkualiti tinggi.

Beliau berkata bagi tahun 2022, MRM menerima permohonan sebanyak 82 produk daripada pelbagai kategori untuk penilaian dan daripada jumlah itu sebanyak 30 produk daripada 18 syarikat didapati menepati spesifikasi yang ditetapkan sekali gus layak menerima pengiktirafan MGDA.

MGDA merupakan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Malaysia terhadap industri reka bentuk dalam usaha untuk menyokong produk-produk yang mempunyai kualiti dalam aspek reka bentuk serta menjadikannya sebagai kriteria yang penting dalam amalan penghasilan sesebuah produk.

Selain itu, MGDA turut berperanan untuk meningkatkan reputasi syarikat menerusi jaminan kepercayaan dan keyakinan dalam jangka masa panjang.

Pengiktirafan MGDA terbuka kepada 13 kategori reka bentuk yang antaranya merangkumi produk berasaskan ruang tamu dan bilik tidur; peralatan rumah, dapur dan bilik air; kraf; produk industri; pembungkusan; senibina dan persekitaran; media dan barangan elektronik; serta barang kemas, fesyen dan aksesori.

Dalam majlis itu Isham menyampaikan penganugerahan MGDA kepada 30 produk daripada 18 syarikat termasuk satu syarikat dari Indonesia.

-- BERNAMA