Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk anak-anak anggota polis akan dibina di Perak pada tahun ini.

Katanya, ia tiada kaitan dengan PRK Kuala Kangsar tetapi sebagai mengenang jasa para anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anak-anak mereka.

Menurut Ahmad Zahid, MRSM itu adalah khusus untuk anak-anak polis di seluruh negara dan kawasannya telah diputuskan oleh kerajaan untuk dibina dalam tahun ini.

“(Ia) khusus untuk anak-anak polis di seluruh negara. MRSM itu dibina di negeri Perak dan telah diputuskan di mana kawasannya dan telah dibeli tanah itu.

“Tender akan keluar selewat-lewatnya akhir bulan ini dan tempat itu akan diumumkan oleh ahli Parlimen di kawasan berkenaan,” ujar Ahmad Zahid

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan berjumpa dengan warga dan pegawai PDRM di Markas Taktikal (Martek) PDRM, Kuala Kangsar pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir , Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Polis Perak, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Zahid turut menyifatkan PRK Parlimen Kuala Kangsar sebagai yang terbaik dalam sejarah kerana di Kuala Kangsar setakat ini hanya 11 laporan polis telah dilakukan dan lima telah dibuka kertas siasatan.

Beliau berharap ia dapat dikekalkan sehingga 18 Jun ini sekali gus menunjukkan bahawa tahap kematangan berpolitik di Malaysia sudha tiba dan ini harus dipertahankan oleh semua parti politik.

Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) tidak memprovokasi jenteranya untuk melakukan sesuatu tindakan yang diluar tata etika pilihan raya kecil dan pilihan raya umum.

Beliau berharap ia bukan hanya sekadar pematuhan terhadap Akta SPR ataupun Kanun Keseksaan ataupun Akta Polis tetapi lebih daripada itu adalah hati dan nurani mesti menghormati secara matang sistem demokrasi yang berjalan dengan baik di Malaysia.