KUALA LUMPUR: Kebolehan industri kejuruteraan marin negara dalam bidang pasang pulih (refit) kapal di limbungan tempatan terbukti apabila mampu menggalas kerja-kerja yang diberikan. 

Ini yang dipamerkan oleh MSET Shipbuilding Corporation Sdn. Bhd. (MSET) di Terengganu apabila berjaya menyiapkan projek refit dua buah kapal peronda (PC) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

Dua buah PC berusia 58 tahun iaitu bekas kapal peronda KD Sundang dan KD Panah siap diselenggara dan dinaik taraf untuk ditauliahkan kembali ke dalam armada TLDM. 

Bekas PC Panah akan ditauliahkan kembali sebagai KD Sri Sarawak dengan nombor penant 48 manakala Sundang pula menjadi KD Sri Sabah (46). 

Kapal PC KD Sri Sabah (46) dan KD Sri Sarawak (48) baharu yang bakal menggalas tugas kembali mengawal perairan negara. 

Dua kapal PC sebenar yang menggunakan nama sama iaitu KD Sri Sabah (3144) dan KD Sri Sarawak (3145) telah dilupus pada tahun 2018 apabila ditenggelamkan ke dalam laut. 

Pentauliahan semula kedua-dua kapal PC ini akan disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang esok (Jumaat). 

Difahamkan, dua kapal ini kemudian akan belayar ke Sandakan untuk ditempatkan di sana. 

Kapal-kapal ini yang dibina pada tahun 1966 oleh syarikat Vosper Thornycroft, England sebagai kapal peronda kelas Keris telah memainkan peranan besar kepada TLDM pada era tersebut sehingga ditamatkan perkhidmatan. 

Kesemuanya TLDM pernah mengoperasikan 18 buah kapal PC kelas ini. 

Penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyaksikan sebahagian kapal-kapal PC ditamatkan tauliah dan diserahkan kepada agensi itu pada tahun 2006. 

Pada tahun 2020 APMM menamatkan khidmat kapal-kapal PC ini lalu diserahkan kembali kepada TLDM.  

Beberapa buah kapal PC bekas kepunyaan TLDM mengakhiri hayat sebagai tukun apabila ditenggelamkan ke dalam laut. 

Bagaimana pun, TLDM yang berdepan dengan isu kekurangan aset mengambil langkah inovatif apabila melaksanakan refit pada kapal PC Sundang dan Panah. 

Projek refit kapal ini merupakan pelaksanaan selenggaraan secara ubah suai menyeluruh melibatkan skop kerja yang komprehensif.  

Pendekatan tersebut diambil disebabkan kedua-dua kapal PC telah berusia melebihi 50 tahun.   

Antara skop kerja ialah penggantian secara keseluruhan sistem kuasa gerak kapal, sistem penjanaan dan pengagihan kuasa elektrik. 

Turut diganti ialah sistem sokongan termasuk kelengkapan dan kemudahan kru serta penukaran bahagian badan (hull) yang rosak.  

Difahamkan, pihak TLDM dan Kementerian Pertahanan (Mindef) amat teruja dan percaya dengan kemampuan limbungan tempatan melaksanakan pembaikan kapal.   

Malah, sepanjang program refit ini dijalankan perhatian serius diberikan termasuk tinjauan kerja oleh kepimpinan kanan Mindef untuk memastikan kerja-kerja berjalan lancar. 

Menerusi kerjasama rapat antara pihak TLDM dan MSET juga membolehkan sebarang isu, cabaran dan cadangan daripada pihak industri diteliti dan diselesaikan bersama.  

MSET juga bukan baharu dalam bidang kejuruteraan marin kerana syarikat ini yang berusia lebih 40 tahun juga mempunyai kemahiran dalam bidang pembinaan bot dan kapal saiz sederhana. 

Perubahan fizikal yang ketara pada kapal PC ini ialah hanya menempatkan sebuah meriam Bofors 40/60 pada geladak hadapan berbanding dua sebelumnya iaitu di depan dan belakang. 

Dengan pentauliahan dua PC ini, kapal yang melepasi usia emas itu akan terus memberikan khidmat untuk mengawasi perairan negara sepertimana yang telah dipamerkan sejak 58 tahun lalu. 

Pelaksanaan program refit juga boleh memberi bayangan kemungkinan ia akan diteruskan pada aset-aset lama TLDM tetapi masih bernilai untuk terus dipanjangkan hayatnya. - Dagang News