Skip to main content

Malaysia

MTL: KPDN Johor benarkan peniaga simpan stok bekalan lebih 30 peratus

Lilis Saslinda menunjukkan bawang besar merah yang dijual pada harga terkawal ketika mengadakan tinjauan sempena pelancaran SHMMP Deepavali 2026 Peringkat Negeri Johor di Pasaraya NSK Trade City, Skudai hari ini.  --fotoBERNAMA
Lilis Saslinda menunjukkan bawang besar merah yang dijual pada harga terkawal ketika mengadakan tinjauan sempena pelancaran SHMMP Deepavali 2026 Peringkat Negeri Johor di Pasaraya NSK Trade City, Skudai hari ini. --fotoBERNAMA
Advertisement

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengambil langkah proaktif dalam memastikan bekalan asas mencukupi susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan membenarkan peniaga menyimpan stok atau bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata inisiatif itu membolehkan peniaga yang mempunyai lesen khas simpanan barangan kawalan, meningkatkan kapasiti simpanan mengikut tempoh tertentu.  

"Barangan keperluan asas yang merupakan barang kawalan ini antaranya termasuklah beras dan minyak masak," katanya pada sidang media selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 Peringkat Negeri Johor, di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang persediaan KPDN Johor bagi memastikan bekalan asas mencukupi sepanjang MTL.

Lilis Saslinda berkata pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan kelangsungan bekalan terjamin.

Advertisement

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata MTL bagi musim 2026/2027 bermula pada 27 Okt dan berterusan hingga Mac tahun hadapan.

Beliau berkata semasa fasa awal MTL dari November hingga Januari tahun depan, antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka melanda negara.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata setakat ini, tiada laporan atau berlakunya sebarang isu pembelian panik susulan ancaman siber yang boleh menjejaskan bekalan di Johor, dan pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan bagi memastikan bekalan asas sentiasa mencukupi.

Baru-baru ini, serangan siber dilaporkan berlaku di sebahagian negara Eropah menyebabkan sistem penyejukan di beberapa premis perniagaan terganggu sehingga makanan terpaksa dibuang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan akan memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan global, termasuk memastikan bekalan makanan, air dan tenaga negara mencukupi serta tidak terganggu.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement