MTL: Lebih 15,000 anggota APM siap siaga hadapi banjir

Lebih 15,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi bencana banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda tidak lama lagi. - Foto BERNAMA
KUALA NERANG: Lebih 15,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di seluruh negara dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula tidak lama lagi.
Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan cuaca dan akan bertindak mengikut perancangan sekiranya bencana itu berlaku.
"Kita akan menjalankan operasi di kawasan dikenal pasti berisiko banjir dengan maklumat lokasi hotspot disalurkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Latihan Pengendalian dan Penyelenggaraan Bot sempena MTL 2025/2026 di Tasik Pedu, dekat sini hari ini.
Aminurrahim berkata koordinasi serta perkongsian maklumat antara agensi amat penting dalam menghadapi MTL bagi memastikan persiapan rapi terutama dalam menggerakkan aset dan anggota ke lokasi terjejas.
"Pengalaman sebelum ini, kita jangka (banjir) di Pantai Timur dan menggerakkan aset ke sana, tetapi banjir berlaku di Selangor menyebabkan kita kena bawa pula aset kita dan ini melambatkan operasi," katanya.
Sementara itu, beliau berkata tindakan pantas dalam operasi menyelamat mangsa banjir antara fokus diberi perhatian dalam setiap latihan dijalankan agensi itu.
Aminurrahim berkata ia berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini termasuk di Perak dan Kedah apabila air naik terlalu pantas terutama pada waktu malam.
"Jadi keperluan untuk menyelamat mangsa banjir dalam keadaan tersebut perlu sentiasa diberikan latihan agar anggota kita dapat bertindak dengan berkesan," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

