MALAYSIA
MTP 2025: Lonjakan teknologi Malaysia dari makmal ke pasaran global

Program MIMOS Technology Preview (MTP) 2025 berfungsi sebagai platform untuk mempamer dan melancarkan lebih daripada 25 teknologi baru yang telah dibangunkan oleh MIMOS.
PUTRAJAYA: Sambutan ulang tahun ke-40 MIMOS Berhad diraikan dengan penuh bermakna melalui penganjuran MIMOS Technology Preview 2025 (MTP 2025), yang menampilkan lebih 25 teknologi sedia pasaran yang berpotensi mempercepatkan transformasi industri negara.
Ringkasan AI
- MIMOS Berhad meraikan ulang tahun ke-40 dengan penganjuran MIMOS Technology Preview 2025, menampilkan lebih 25 teknologi sedia pasaran untuk mempercepatkan transformasi industri negara.
- MIMOS kini beralih daripada institusi penyelidikan kepada pemangkin pengkomersialan teknologi, dengan fokus kepada semikonduktor, AI, elektronik termaju dan penyelesaian digital untuk sektor strategik.
- Melalui pendekatan Quadruple Helix dan sokongan kepada PKS serta pembangunan bakat, MIMOS menyasarkan melahirkan 60,000 jurutera dan 700 usahawan teknologi baharu dalam tempoh lima tahun.
“Jika dahulu MIMOS banyak tertumpu kepada penyelidikan asas di peringkat Technology Readiness Level (TRL) 1 hingga 6, kini kami bergerak sebagai pemecut utama ekonomi negara dengan teknologi yang telah disahkan, diperakui dan sedia digunakan oleh industri,” katanya.
Antara teknologi yang dipamerkan ialah REVA, peranti kesihatan tanpa invasif, dan INSPECTRA, sistem analisis kualiti sawit secara masa nyata, kedua-duanya dibangunkan bersama rakan industri.
Mengimbau perjalanan empat dekad, Dr Shukri berkata MIMOS telah menjadi peneraju kepada pelbagai inisiatif “pertama di Malaysia” termasuk JARING (penyedia internet pertama negara), pemproses mikro PESONA, dan cip keselamatan untuk kad pintar melalui anak syarikat MyMS.
Kini, peranan itu diperkukuh dengan penumpuan kepada bidang bernilai tinggi seperti semikonduktor, elektronik termaju, kecerdasan buatan (AI), fotonik, serta penyelesaian digitalisasi dan dekarbonisasi untuk sektor pertanian dan pembuatan.
“MIMOS mahu Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi menjadi pencipta dan pengeksport penyelesaian teknologi tinggi, setanding dengan ekonomi maju lain,” ujarnya.
Mengulas elemen Unrivalled Partnership, Dr Shukri menekankan kepentingan pendekatan Quadruple Helix yang merangkumi kerajaan, industri, institusi pendidikan dan masyarakat.
“Penyelidikan dan pembangunan (R&D) tidak boleh lagi beroperasi secara terasing. Untuk berjaya, perlu ada ekosistem lengkap yang menghubungkan inovator, penggubal dasar, pelabur dan pengguna. Inilah yang kami bawa di MTP 2025,” katanya.
Kerjasama erat ini bukan sahaja mempercepatkan masa ke pasaran, malah memastikan teknologi tempatan menepati piawaian antarabangsa sejak hari pertama.
Bagi Ketua Pegawai Teknologi MIMOS, Dr Pannirselvam Kanagaratnam, proses pemilihan teknologi di makmal bukanlah secara rawak, sebaliknya berasaskan dua penilaian ketat iaitu kecemerlangan teknikal dan keperluan pasaran.
“Kami tidak berinovasi secara bersendirian. Sesebuah teknologi hanya ‘lulus’ jika terbukti kukuh secara teknikal dan jelas mempunyai permintaan pasaran yang besar,” jelasnya.
Beliau menambah, pembangunan bersama industri secara mandatori menjadi kunci utama menutup jurang pengkomersialan, selain pemindahan harta intelek (IP) dan kemudahan ujian serta pengesahan bertaraf dunia yang dimiliki MIMOS.
MIMOS turut memberi penekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui akses kepada teknologi sedia ada, kemudahan teknikal, serta sokongan kewangan bersama rakan pelaburan strategik.
Lebih penting, pembangunan bakat turut diberi perhatian menerusi program latihan dan Akademi MIMOS.
Sasaran lima tahun adalah untuk melahirkan 60,000 jurutera baharu dalam bidang semikonduktor, AI, IoT dan elektronik sejajar dengan aspirasi kerajaan MADANI untuk menjadikan teknologi sebagai tonggak pendapatan tinggi negara.
“Kami ada 700 staf. Visi kami adalah melahirkan 700 usahawan teknologi baharu yang mampu memacu pasaran dengan inovasi tempatan,” kata Dr Pannir.
MTP 2025 menjadi bukti usaha bersepadu MIMOS untuk menjadikan Malaysia bukan sekadar pembeli, tetapi pemilik teknologi yang berdaya saing di peringkat global.
Dengan pendekatan ekosistem menyeluruh, MIMOS yakin aspirasi Malaysia sebagai ekonomi berteknologi tinggi, berasaskan inovasi dan berdaulat dapat dicapai.
Kedua-dua Dr Shukri dan Dr Pannirselvam berkata demikian dalam program Niaga AWANI bersempena pelancaran MTP 2025 di Putrajaya pada Khamis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami