KUCHING:
Warga kerja Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDERN) memegang tanggungjawab besar menjadi tunjang utama dalam memastikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) Sarawak dapat dicapai.

Bercakap kepada warga MUDERN pada Malam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi kementerian tersebut, ADUN Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri itu berkata tanggungjawab berat tersebut harus dipikul bersama.

“MUDERN diberikan tanggungjawab yang berat, untuk menambah pendapatan negeri dalam kita cuba keluar dari kemelut pandemik ini. Sarawak akan melaksanakan banyak projek pembangunan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.


Beliau menambah, warga MUDERN harus melaksanakan tanggungjawab dengan berdedikasi supaya dasar-dasar kerajaan dapat dicapai dan memperkukuh kedudukan Sarawak dalam menuju status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) sehingga berjaya mencatatkan kemenangan bergaya pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

“Tahniah saya ucapkan juga kepada YAB Ketua Menteri kita, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengemudi GPS untuk mencatat kemenangan cemerlang ini,” tambah beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah mantan Setiausaha Tetap MUDERN, Datu Zaidi Mahli dan Mantan ADUN Gedong Datuk Naroden Majais.