Pengiktirafan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) oleh Penilaian Bahasa Inggeris Cambridge United Kingdom membolehkannya kini dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keyakinan itu selaras selepas MUET menerima Sijil Penjajaran Common European Framework Referance (CEFR).

Jelasnya, ujian itu merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan sebelum ini.

"Ada kerjasama baik dan mereka bergerak selari dengan CEFR. Jadi maknanya dengan penyediaan khidmat nasihat daripada Cambridge English, kita tidak perlu buat apa-apa ujian lain.

"Kita buat MUET ini sudah sama dengan CEFR di peringkat Cambridge English," katanya semasa sidang media selepas pengumuman keputusan STPM 2017 di sini, hari ini.

Pada majlis terbabit, Mahdzir turut menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan berkenaan oleh Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Antarabangsa Cambridge English, Dr Hanan Khalifa kepada Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Mahdzir memberitahu, negara luar dari Bangladesh, India dan Sri Lanka telah menghubungi kementeriannya untuk menggunakan ujian MUET.

MUET ialah ujian bahasa Inggeris yang dijalankan di peringkat pra-universiti, matrikulasi, asasi, diploma, dan STPM.

Ia diperkenalkan untuk mengukur tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan juga untuk mereka yang bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi .
Peperiksaan MUET ini wajib diambil oleh mereka yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya ada permintaan negara tertentu, pihaknya menerusi MPM akan membuka sebuah pusat sehenti di negara berkenaan bagi mengendalikan urusan pendaftaran serta pelaksanaan ujian.

Berhubung usaha memperkasa pendidikan Tingkatan Enam, Mahdzir berkata, kementeriannya sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan sekolah kurang murid sebagai bangunan khusus yang menempatkan pelajar tingkatan enam.

"Langkah ini akan memberikan pelajar STPM lebih motivasi, seolah-olah berada di kolej atau matrikulasi, seiring dengan kepentingan sijil itu sebagai landasan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Katanya, sehingga kini terdapat 14 sekolah yang dijadikan Pusat Tingkatan Enam.