Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal membuat penampilan sulung sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), menerusi ucapan dalam video yang diprarakam untuk mesyuarat peringkat tinggi di New York pada lewat hari ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataannya berkata, Muhyiddin pada mesyuarat bersempena ulang tahun ke-75 UNGA itu akan membuat penegasan berhubung sokongan berterusan Malaysia terhadap peranan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Muhyiddin akan menggariskan perubahan yang perlu diambil PBB bagi memastikan pertubuhan itu kekal relevan dalam menangani cabaran-cabaran global masa kini," kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat peringkat tinggi sehari tersebut dijangka menerima Deklarasi Memperingati Ulang Tahun Ke-75 PBB.

"Deklarasi itu mengisyaratkan komitmen kolektif negara anggota terhadap multilateralisme dan untuk merangsang perkongsian dalam kalangan komuniti dalam merealisasikan dan menyelesaikan keperluan paling penting," demikian menurut kenyatan itu.

Mesyuarat peringkat tinggi itu akan memberi peluang kepada pemimpin dunia untuk bekerjasama melaksanakan matlamat PBB seperti yang termaktub dalam Piagamnya yang ditandatangani di San Francisco pada 26 Jun 1945.

Piagam itu menuntut PBB mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, menganjurkan kemajuan masyarakat serta standard kehidupan yang lebih baik, mengukuhkan undang-undang antarabangsa dan mempromosikan hak-hak kemanusiaan.

Wisma Putra berkata, mesyuarat itu akan disusuli sesi debat umum yang dijadualkan bermula esok hingga 29 September.

Debat umum itu akan dipengerusikan oleh Presiden Sesi ke-75 UNGA Volkan Bozkir dari Turki di bawah tema "The future we want, the United Nations we need: reaffirming our collective commitment to multilateralism - confronting COVID-19 through effective multilateral action."

Wisma Putra berkata Muhyiddin dijadual menyampaikan pendirian Malaysia pada debat umum itu 26 September ini. - BERNAMA