Sambutan Hari Malaysia wajar dizahirkan dengan acara-acara yang melambangkan kesepaduan rakyat dan kecintaan tidak berbelah bahagi kepada negara.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Hari Malaysia tidak wajar disambut dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh ditafsirkan sebagai berbaur perkauman, walau apapun motif di sebaliknya.

"Jika benar hendak memperjuangkan maruah Melayu, maka nasihat saya gunalah saluran yang betul, bukan dengan cara membangkitkan sentimen perkauman," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan sempena perutusan Hari Malaysia hari ini.

Muhyiddin secara peribadi turut menasihatkan pihak-pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah yang bijaksana dalam memutuskan penganjuran apa-apa perhimpunan atau perarakan pada Hari Malaysia.

"Ini penting supaya sambutan Hari Malaysia tidak dicemari dengan peristiwa yang boleh menimbulkan perasaan persengketaan dan permusuhan antara kaum.

"Dalam kita menghormati hak individu untuk berhimpun, harus diingat isu yang juga tidak kurang penting ialah kesejahteraan dan keharmonian antara kaum serta keselamatan negara," tegas Muhyiddin.

Jelas Muhyiddin, sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia, pelbagai kejayaan berjaya ditempa dan pelbagai cabaran berjaya diharungi.

Sebagai sebuah negara bangsa juga kata Muhyiddin, Malaysia berusaha untuk memupuk integrasi nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, membasmi kemiskinan, memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan, mewujudkan kestabilan politik, memelihara keharmonian kaum dan mengekalkan keamanan negara.

"Berkat persefahaman yang dipupuk dalam kalangan masyarakat majmuk, kita telah menangani masalah perbezaan kaum, bahasa, agama dan wilayah untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu, bebas, aman dan berdaulat," jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau sempena sambutan Hari Malaysia, beliau mengajak seluruh rakyat supaya bersama-sama berdoa agar Malaysia sentiasa dilimpahi dengan nikmat perpaduan, keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.