KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera memanggil semua parti-parti politik jika benar beliau akur pada titah Yang di-Pertuan Agong, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sekiranya tidak berbuat demikian, Salahuddin menegaskan, Muhyiddin boleh dianggap menderhaka pada titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengetepikan politiking dan memberi tumpuan kepada Belanjawan 2021.

"Titah Yang di-Pertuan Agong itu untuk semua ahli politik, maka Muhyiddin juga perlu hentikan politiking.

"Beliau perlu segera panggil semua parti-parti politik untuk berbincang mengenai Belanjawan 2021 jika akur titah Yang di-Pertuan Agong.

"Sekiranya Muhyiddin tidak memanggil semua parti politik termasuk pembangkang, maka jelas beliau menderhaka pada titah Yang di-Pertuan Agong untuk ketepikan politiking," katanya kepada Astro AWANI.

Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi bertitah menasihatkan agar semua Ahli Dewan Rakyat memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Tuanku bertitah bahawa sokongan terhadap Belanjawan itu penting demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat, serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

BACA: Agong mahu ahli politik hormat titah Baginda, beri sokongan padu pada Belanjawan 2021

BACA: Ayuh kita buang ego, duduk semeja demi rakyat - Nazri Aziz

Sebelum ini, Salahuddin menggesa Muhyiddin agar mengadakan perbincangan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan berkenaan Belanjawan 2021.

Beliau menjelaskan, Muhyiddin perlu menghormati kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang dalam Dewan Rakyat jika beliau mahu Belanjawan 2021 mendapat sokongan semua pihak.

BACA: Muhyiddin perlu hormat Ketua Pembangkang, bincang isu bajet - Salahuddin