MALAYSIA

Muhyiddin tiba di Istana Negara, menghadap Agong

Fauzi Suhaimi 09/03/2020 | 03:07 MYT
Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi ini. - Gambar fail
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pagi ini.

Beliau tiba di Istana Negara pada pukul 10.47 pagi bagi mempersembahkan senarai barisan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada baginda pada jam 11 pagi.

Terdahulu, kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, senarai barisan Kabinet akan diumumkan pada pukul 5 petang, hari ini, selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pengumuman senarai Jemaah Menteri itu dibuat selepas lebih seminggu Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri kelapan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, pada 1 Mac.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

BACA: Muhyiddin hadap Agong, persembah senarai Kabinet baharu

BACA: Senarai Kabinet Muhyiddin melalui tapisan SPRM, PDRM - Mufti Perlis



#Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #kabinet #kerajaan #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #senarai barisan Kabinet #Yang di-Pertuan Agong #YDPA