Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berharap lebih ramai wakil rakyat 'lama' untuk berundur secara sukarela demi memberi peluang kepada muka baru pada pilihan raya umum akan datang, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman.

Mengulas pengumuman yang dibuat anggota Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Abdul Aziz berkata tindakan tersebut merupakan satu langkah untuk merealisasikan hasrat kepada tindakan.

"Saya mengharap ramai lagi wakil rakyat seperti Shahrir yang sudah lama berkhidmat itu secara sukarela menyerahkan kepada muka-muka baru kerana kita mesti meremajakan parti.

"Sekiranya kalau sudah melatih pengganti dia, itu lagi bagus. Begitu juga kepada yang lain.

"Pada masa dan ketikanya, syukur Alhamdulillah atas apa yang diberi untuk menyandang jawatan sebagai wakil rakyat, serah pula kepada orang-orang muda," katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi pertubuhan itu di ibu negara hari ini.

BACA: Jawatan Penaung Mubarak lucut automatik setelah Tun M keluar UMNO - Abdul Aziz

Beliau pada masa sama merakamkan tahniah kepada Shahrir yang sanggup tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang demi memberi peluang kepada muka baru.

Semalam, Shahrir, 67, menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

Veteran UMNO itu yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam politik berkata beliau mahu memberi peluang kepada orang muda untuk menjadi pemimpin.

Katanya, beliau percaya anak muda boleh menjadi pemimpin jika mereka diberi peluang dan kepercayaan.