Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mengarahkan syarikat pemaju yang didakwa merobohkan sebahagian daripada tapak arkeologi Lembah Bujang supaya menghentikan serta merta projek perumahan di kawasan berkenaan.

Beliau juga mengarahkan satu siasatan terperinci dibuat bagi mengenal pasti sejauh mana kerosakan yang didakwa telah dilakukan oleh pemaju tersebut ke atas tapak sejarah itu.

Arahan itu dimaklumkan melalui Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajuk Urus Mat Zain.

"Saya dimaklumkan (projek itu) memang pun sudah dihentikan buat seketika, bukan notis tetapi secara lisan supaya mereka hentikan dan nampaknya mereka beri kerjasama yang baik," katanya kepada pemberita.

Menurut Mukhriz, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak pemaju projek perumahan itu secepat mungkin bagi mengetahui apa yang berlaku.

Beliau juga memaklumkan Kerajaan Negeri Kedah masih menunggu laporan penuh berhubung dakwaan perobohan tapak arkeologi kurun ke-8 yang terletak dalam daerah Merbok itu.

Jelas Mukhriz, beliau akan mengulas lebih lanjut mengenai apa yang berlaku selepas mendapat laporan penuh berkenaan.

Bagaimanapun Mukhriz menegaskan kerajaan negeri memandang serius kejadian itu biarpun setakat ini pihaknya mengambil maklum ada beberapa versi laporan media mengani apa yang terjadi.

Pada 30 November, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Prof Dr P. Ramasamy dilaporkan berkata bahawa runtuhan tapak arkeologi telah dirobohkan oleh pemaju tanah.

Tapak ini dikatakan berusia 1,200 tahun dan Badan Warisan Malaysia mahu menyenaraikan tempat sejarah ini sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Badan Warisan Malaysia menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera untuk melindungi runtuhan kuil purba di Lembah Bujang

"Melainkan terdapat pengurusan dan rejim perlindungan yang ketat ditambah pula dengan tindakan pantas dan punitif yang dilaksanakan oleh penjaga rasmi warisan negara kita, pemusnahan warisan negara kita akan diteruskan dan kita hanya akan dapat melihat sahaja tanpa membuat apa-apa," Pengarah Eksekutif Badan Warisan Malaysia Elizabeth Cardosa berkata.