UMNO Kedah memohon supaya dipertimbangkan agar calon pada pemilihan parti Oktober ini diberi peluang berjumpa sendiri dengan para perwakilan.

Pengerusi badan perhubungan UMNO Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata pihaknya ada menerima rungutan serta aduan mengenai tata etika yang agak mengongkong dan menyekat calon untuk memperkenalkan diri masing-masing secara bersendirian.

Beliau berkata tidak semua calon mendapat nikmat atau faedah daripada liputan media yang meluas dan banyak di kalangan mereka yang masih belum mengenali perwakilan.

Perkara itu dibangkitkan apabila calon tidak dibenarkan berkempen bersendirian dan hanya dibenarkan berkempen dan memperkenalkan diri melalui program dianjurkan ibu pejabat UMNO melalui kerjasama badan perhubungan UMNO negeri sahaja.

Mukhriz berkata calon perlu dibenarkan membuat perjumpaan sendiri dengan para perwakilan tetapi wajib memaklumkan kepada pihak perhubungan negeri bagi membolehkan wakil dihantar untuk memantau perjumpaan itu.

Beliau berkata pemantauan akan dibuat bagi memastikan tidak berlaku perkara yang melanggar etika di samping memberi ruang dan peluang untuk calon berjumpa perwakilan tanpa rasa bimbang diambil tindakan disiplin atau digugurkan kelayakan bertanding.

Katanya perkara itu sangat penting untuk dipertimbangkan memandangkan banyak aduan serta rungutan diterima bukan sahaja daripada calon malah di kalangan perwakilan sendiri.

Sementara itu, katanya, pemilihan parti kali ini sangat kritikal kerana belum tahu akan ada pemilihan lagi atau tidak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kod etika pemilihan yang antaranya menetapkan calon tidak boleh berkempen secara bersendirian dan hanya boleh mempromosi diri melalui majlis rasmi yang diaturkan Badan Perhubungan UMNO setiap negeri dilihat terlalu ketat.

Ketua Pemuda, Khairy Jamaludin Abu Bakar sebelum ini berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada calon Pemuda UMNO yang bertanding di pelbagai peringkat yang merasakan syarat

Khairy berkata, generasi muda dalam UMNO memerlukan kebebasan lebih luas dan bukannya ingin menggalakkan perkara tidak sihat.