Transformasi di kalangan remaja dan pelajar perlu dilakukan dengan jelas dan dipimpin dengan baik.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berpendapat ia bagi mengelakkan daripada berlakunya huru hara seperti di negara Asia Barat khususnya Mesir.

Menurutnya, huru hara di Mesir yang membabitkan golongan muda berlaku kerana golongan itu membuat tuntutan dan perubahan berasaskan perasaan marah terhadap kerajaan yang memerintah.

Keadaan menjadi lebih buruk bila golongan terbabit terlalu ghairah dalam tuntutan perubahan mereka dan lebih cenderung kepada pergerakan penentangan di jalanan.

Sehubungan itu, Mukhriz menegaskan perubahan yang dituntut golongan remaja Malaysia perlu dipimpin bagi memastikan golongan muda negara tidak tersasar dalam menuntut transformasi mereka.

Dan itu adalah antara agenda yang beliau tekankan dalam proses meremajakan UMNO bagi memastikan perubahan positif di kalangan golongan muda dalam parti keramat terbabit.

Beliau hadir di majlis dialog bersama pemimpin anjuran akhbat sinar harian dengan tajuk impak krisis timur tengah kepada Malaysia di Shah Alam, selangor, petang tadi.