Kerajaan negeri sentiasa memikirkan gerak kerja paling efektif untuk membantu golongan memerlukan dan kurang kemampuan, kata Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata kerajaan mahu melihat nasib golongan miskin, kurang berkemampuan, orang kelainan upaya, anak-anak istimewa serta ibu tunggal terbela.

"Kita mahu melihat golongan seperti ini turut menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik dan tidak terabai jika negeri ini berkembang menjadi sebuah negeri maju menjelang 2020," katanya pada majlis Sumbangan Hari Raya Anggota Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah (Bidara) kepada Pusat Dalam Komuniti (PDK) Kedah di sini malam tadi.

Beliau berkata pelan transformasi negeri tidak hanya tertumpu kepada usaha-usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi sahaja malah turut menitikberatkan pemerkasaan masyarakat dalam semua aspek kehidupan.

Dalam pada itu, beliau berkata anggota Bidara, sebagai peneraju pendapat dalam kalangan wanita, perlu menguasai isu-isu semasa dan teknologi bagi membantu menjayakan pembangunan negeri.

Dalam arus kemajuan modernisasi dan globalisasi, Bidara tidak boleh lagi mengikut acuan terdahulu yang menuntut mereka berfikir secara global dan bertindak bersesuaian dengan keperluan, katanya.

"Perancangan dan dasar kerajaan negeri harus difahami dan dihayati agar dapat diperluaskan kepada kumpulan sasar yang akan dibela oleh Bidara. Secara tidak langsung Bidara adalah pelengkap kepada jentera pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Katanya komitmen Bidara dalam mengupayakan anak-anak istimewa untuk turut serta dalam proses pembangunan di setiap PDK di negeri ini turut digariskan dalam aku janji Barisan Nasional (BN) Kedah pada pilihan raya umum yang lepas.

Terdahulu, Mukhriz menyampaikan sumbangan hari raya Bidara kepada 280 kanak-kanak istimewa.Turut hadir Yang Dipertua Bidara Datin Norzieta Zakaria.