PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 28 Ogos ini untuk memutuskan rayuan seorang wanita bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkan beliau murtad.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk See Mee Chun dan Datuk Azizul Azmi Adnan menetapkan tarikh itu selepas peguam Fahri Azzat serta Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@ Arwi selesai berhujah pada prosiding hari ini.

Ahmad Hanir dan Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali hadir bagi pihak Peguam Negara atas kapasiti beliau sendiri kerana pada peringkat ini, beliau tidak mewakili kerajaan sebaliknya berperanan bagi membantu mahkamah.

Wanita berusia 33 tahun itu, yang dilahirkan dalam keluarga bapa seorang mualaf dan ibu menganut agama Islam, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Jun lepas yang menolak permohonannya untuk mendapat kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

Dalam permohonan itu, yang difailkan pada 4 Mac tahun lepas, beliau menamakan Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Wanita itu memohon sekurang-kurangnya 12 perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa beliau bukan lagi seorang Islam serta berhak menganut dan mengamalkan agamanya iaitu Konfusianisme serta Buddhisme.

Beliau turut memohon deklarasi Mahkamah Tinggi sivil bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah yang menolak permohonannya untuk diisytihar sebagai murtad adalah tidak sah, menyalahi undang-undang serta batal.

Pada 27 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak permohonan wanita itu untuk diisytihar sebagai bukan Islam dan memerintahkan beliau agar melalui 'istitabah' atau bertaubat dan mengikuti kelas agam Islam serta kaunseling akidah selanjutnya.

Beliau kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 8 Dis 2021.

Terdahulu, Fahri berhujah bahawa semakan kehakiman yang difailkan oleh anak guamnya di Mahkamah Tinggi sivil bukanlah permohonan untuk keluar agama Islam atau murtad sebaliknya bagi mengkaji keputusan Mahkamah Syariah yang tidak membenarkan beliau murtad.

Beliau berkata mahkamah sivil boleh menggunakan bidang kuasanya untuk menentukan sama ada keputusan Mahkamah Syariah dibuat mengikut undang-undang.

Fahri turut merayu kepada mahkamah agar memberikan peluang kepada anak guamnya untuk didengar atas alasan wanita itu tidak mempunyai remedi lain jika mahkamah enggan memberi kebenaran agar semakan kehakimannya didengar atas merit.

Bagaimanapun, Ahmad Hanir berhujah bahawa mahkamah tidak seharusnya memberi kebenaran kepada wanita itu memulakan semakan kehakiman kerana keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah tidak boleh dipinda kepada semakan kehakiman.

Beliau berkata Perkara 121(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berhubung sebarang perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Katanya undang-undang adalah jelas dalam menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Syariah.

Ahmad Hanir juga berkata jika keputusan Mahkamah Syariah boleh disemak oleh Mahkamah Sivil atas alasan ia tidak sah atau berlaku ketidakwajaran prosedur maka ia akan menyebabkan semua keputusan Mahkamah Syariah boleh disemak malah pertikaian mengenai hak penjagaan anak atau nafkah bagi pasangan Islam yang bercerai juga boleh disemak.

-- BERNAMA