Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (NGO) My Watch, R Sri Sanjeevan terlalu lantang hingga ada pihak mengambil keputusan menembak beliau.

Katanya beliau pernah menasihatkan Sanjeevan agar tidak terlalu lantang dan menyelesaikan beberapa isu dengan saluran yang sepatutnya.

"Sanjeevan ini terlalu lantang, saya pernah nasihatkan dia kalau ada maklumat pergi ke MACC, kalau nak kerjasama dengan polis, buat cara yang betul, kerjasama dengan polis yang dia percaya, serah kepada mereka untuk ambik tindakan, tetapi dia buat pemantauan sendiri, dia di Jempol buat pemantauan dan mendapat ugutan," katanya kepada Astro AWANI.

Musa menasihatkan semua badan bukan kerajaan (NGO) menggunakan saluran yang betul jika berhasrat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di negara ini.

Katanya, pihak yang terlibat dengan NGO berkaitan jenayah perlu sedar bahawa mereka perlu mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada dan perlu mengikut prosedur.

Mengulas mengenai peranannya dalam MyWatch, Musa berkata dia hanyalah penaung NGO tersebut dan sentiasa mengikut prosedur jika mempunyai maklumat.

"Saya sendiri kalau lantang atau berterus terang nanti orang kata saya ni anti kerajaan, saya anti polis, saya bekas polis, saya sayang pasukan polis.

"Sebab itu saya cakap kalau nak naikkan imej polis atau pulihkan persepsi masyarakat terhadap polis, ia boleh dibaiki oleh anggota polis sendiri, kalau dia jujur, ikhlas orang akan percaya, itu saja," katanya.

Musa mengulas kejadian tembak yang melibatkan pengerusi MyWatch, Sanjeevan berhampiran Taman Cempaka di Negeri Sembilan Sabtu lalu.

Dalam kejadian tersebut, Sanjeevan cedera parah akibat ditembak dua lelaki bermotosikal ketika memandu keretanya untuk minum petang bersama seorang rakan.

Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan berada di Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan mengeluarkan peluru selepas dipindahkan dari Hospital Tunku Jaafar, Kuala Pilah.