Penggemar durian Balik Pulau tahun ini pasti lebih gembira kerana berpeluang menikmati raja buah itu bagi jangka masa yang lama berikutan tempoh durian berbuah kini melebihi empat bulan berbanding hanya tiga bulan sebelum ini.

Ini disebabkan keadaan cuaca panas berikutan fenomena El Nino yang mengakibatkan hasil buah mengalami tiga peringkat berbanding tahun sebelum ini hanya dua peringkat, iaitu dalam tempoh tiga bulan.

Pemilik Ladang Durian Boa Sheng, Chang Teik Seng berkata musim durian kali ini lebih panjang disebabkan jumlah hujan yang kurang dan cuaca panas berikutan fenomena El Nino.

"Musim durian ini bermula awal Mei dan saya lihat buah akan berhasil dalam tiga peringkat iaitu peringkat pertama hasilnya pada Mei hingga Jun, kedua pula pada Jun hingga Julai, dan akhirnya pada Julai hingga Ogos ini," katanya ketika ditemui di kebunnya, di sini hari ini.

Chang, yang mewarisi ladang bapanya yang dibuka sejak tahun 1959 itu, berkata walaupun peringkat penghasilan durian bertambah tetapi kuantiti buah pada setiap pokok tetap sama iaitu dianggarkan 40 biji sepokok.

"Untung kepada penggemar raja buah ini kerana musim kali ini tempohnya bertambah dan mereka mempunyai masa untuk merasai keenakan pelbagai jenis buah durian.

"Pengeluaran buah tetap sama setiap tahun dianggarkan sebanyak 7,000 biji buah daripada 300 pokok durian di ladang ini," katanya yang mempunyai ladang durian seluas 6.7 hektar.

Chang berkata setiap kali musim durian, ladangnya akan dibanjiri lebih 5,000 orang dan tahun ini beliau menyasarkan sebanyak 7,000 orang akan datang untuk menikmati keenakan 20 jenis buah durian.

Katanya pelanggan boleh datang menikmati buah durian segar dan mengutip sendiri buah di ladang dengan harga pakej yang disediakan.

"Saya tidak eksport buah, tetapi saya 'import' penggemar buah durian datang sendiri ke ladang durian. Boleh dikatakan separuh daripada pelanggan saya adalah pelancong luar negara dan ada yang sanggup datang dari Amerika Syarikat dan Rusia untuk menikmati keenakan raja buah ini," katanya.