Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini berkata dakwaan kononnya pengundi luar boleh dibawa masuk untuk mengundi di Selangor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad ini adalah mustahil.

"Mana boleh? mustahil. Saya tidak percaya bahawa seseorang boleh tempah tiket dan terbangkan orang Sabah atau Sarawak, atau dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak (begitu saja)," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Semalam, Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa Umno membawa masuk pengundi luar, khususnya dari Sabah menggunakan pengangkutan udara.

Abdul Aziz berkata pengundi yang berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain perlu melalui beberapa proses dan memaklumkan kepada SPR sekiranya mereka menukar alamat dan mahu mengundi di kawasan berkenaan.

Katanya proses pilihan raya juga memperuntukkan tempoh bantahan selama dua minggu selepas senarai pengundi yang dipindahkan dipapar kepada umum, sebelum perubahan itu diwartakan.

"Kamu tak boleh mudah-mudah bawa orang dengan kereta, atau bas, atau kapal terbang begitu sahaja, kecuali mereka pergi melancong," katanya.