KUALA LUMPUR: Beberapa parti pembangkang mempersoal kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Menerusi satu kenyataan bersama, mereka kekal dengan pendirian menolak kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Adalah mustahil Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah Ahli Parlimen kerajaan semalam.

“Kami juga kekal dengan pendirian bahawa Muhyiddin dan seluruh Jemaah Menteri mesti meletakkan jawatan,” memetik kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh tiga pemimpin utama Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).

Turut bersama mengeluarkan kenyataan itu adalah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO), Baru Bian (PSB), Datuk Masir Kujat (PSB) dan Maszlee Malik (Bebas).



PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini

[LAPOR LANGSUNG] 'Tiada isu peletakan jawatan' - Muhyiddin

Muhyiddin dalam Perutusan Khas pada Rabu berkata, beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Katanya, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Jelas Perdana Menteri lagi, Agong telah berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.



AWANI Ringkas: Keabsahan PM dan kerajaan PN diputuskan melalui usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September nanti