KUALA LUMPUR: Penganjuran Musyawarah Nasional pertama di ibu negara pada Ahad, bukan sekadar mengenal pasti isu yang mencetuskan keresahan dalam kalangan Melayu dan Islam, tetapi turut menjadi wadah merangka penyelesaian bagi menjamin masa depan bangsa dan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, platform itu diwujudkan bukan untuk menyemarakkan ketakutan atau menjadi modal politik kebencian, sebaliknya berteraskan kesedaran bahawa keresahan berkenaan tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa tindakan yang jelas dan berani.
Tegasnya lagi, pemimpin Melayu dan Islam mempunyai tanggungjawab terhadap bangsa teras, yang menjadi salah satu tunjang kestabilan, keharmonian, dan kemakmuran negara.
“Hari ini, keresahan itu bukan lagi sekadar persepsi. Ia menyentuh emosi, maruah, keyakinan dan persoalan besar tentang kedudukan bangsa kita di atas tanah air sendiri. Namun, apabila kita berbicara tentang keresahan Melayu, jangan sesekali ia disalahertikan sebagai penolakan terhadap perpaduan.
“Keresahan ini tidak boleh dibakar menjadi kebencian. Ia tidak boleh dimanipulasi menjadi modal politik sempit. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk meruntuhkan keharmonian.
“Sebaliknya, keresahan ini mesti diurus dengan ilmu, dipandu dengan hikmah dan digerakkan dengan keberanian supaya resah tidak menjadi marah, tetapi berubah menjadi arah,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Musyawarah Nasional, sebuah platform yang menghimpunkan pemimpin politik, tokoh ilmuwan, pemimpin masyarakat serta agensi Kerajaan bagi menyelami keresahan Melayu-Islam dan merumuskan penyelesaian yang tuntas serta berkekalan.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid membentangkan lima teras utama perbincangan iaitu Memelihara Agama dan Institusi Raja-Raja Melayu, Medan Ekonomi dan Pemilikan, Medan Pendidikan dan Bakat Masa Depan, Medan Sosial, Budaya, Bahasa dan Perpaduan Nasional, serta Medan Politik dan Kestabilan Kuasa Melayu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, terdapat beberapa isu yang dilihat menyentuh sensitiviti kesucian Islam, dan kewibawaan institusi Raja-raja Melayu, antaranya isu ICERD; penghinaan terhadap kalimah Allah; bantahan terhadap Azan; dan menyamakan Sultan Selangor dengan imej haiwan.
“Perbuatan sebegini jelas melampaui batas adab, budaya dan prinsip hormat yang menjadi asas keharmonian masyarakat. Islam ialah agama Persekutuan. Raja-Raja Melayu ialah payung kedaulatan.
“Maka apabila dua tiang seri ini diganggu, keresahan rakyat tidak boleh dianggap kecil. Ia mesti ditangani dengan tegas, adil dan berhikmah agar maruah agama, institusi negara dan keharmonian nasional dapat terus terpelihara,” katanya lagi.
Atas sebab itu, Ahmad Zahid berkata, platform Musyawarah Nasional mencadangkan agar kerangka perundangan sedia ada dapat diperkukuh sesuai dengan cabaran zaman.
“Kebebasan bersuara mesti terus dihormati, tetapi kebebasan tidak boleh menjadi lesen untuk menghina agama, memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu, atau merosakkan asas keharmonian negara,” tegasnya lagi.