Impian murni dua wanita untuk mengubah nasib golongan petani wanita luar bandar - agar peka teknologi dan inovasi selain mampu menyertai rantaian bekalan makanan global tidak sia-sia apabila mereka berjaya membangunkan aplikasi mudah alih bertaraf global, Bayu Harvest.

Berbekalkan keazaman dan cita-cita untuk meningkatkan kualiti hidup kaum Hawa yang saban hari membanting tulang di bawah terik mentari, Faezrah Rizalman dan Jeannette Goon sanggup mendampingi golongan petani di pedalaman Sabah agar mereka celik teknologi dalam pemasaran produk tempatan ke tahap global.

Aplikasi Bayu Harvest mampu menghubungkan golongan petani wanita di luar bandar di Sabah dengan pemborong untuk membeli hasil tanaman mereka dengan harga yang lebih tinggi dan berpatutan.

Merapatkan jurang pendapatan golongan petani di Sabah menjadi motivasi kepada Faezrah dan Jeannnette untuk memastikan agar golongan petani luar bandar mampu mendapat akses kepada aplikasi Bayu Harvest.

“Apabila mereka mendapat hasil tanaman, mereka akan menjualnya kepada pemborong dengan harga yang serendah mungkin. Kebiasaannya mereka akan bersetuju dengan apa sahaja harga yang ditawarkan pemborong.



Dengan menggunakan aplikasi Bayu Harvest, menurut Faezrah, petani mampu menjadi lebih peka dalam menguruskan tanaman mereka dan belajar selok-belok untuk menaik taraf diri mereka sehingga bergelar usahawan.

“Kami mampu menawarkan khidmat latihan, pemasaran produk dan juga penjenamaan semula kepada petani-petani di sana,” katanya selepas majlis penganugerahanKemakmuran Digital APEC 2019 di sini, hari ini.



Majlis itu dianjurkan sempena Mesyuarat Tidak Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan APEC 2020 yang sedang berlangsung selama tiga hari di The Westin Langkawi Resort & Spa mulai Isnin sehingga Khamis.

Idea untuk membangunkan aplikasi Bayu Harvest tercetus selepas Faezrah menyedari produk tempatan dari Sabah dan Saraawak sukar ditemui.

Berbekalkan idea di atas sekeping kertas, Faezrah menghubungi rakan kongsi syarikat Bayu Harvest, Jeannette Goon untuk membangunkan sebuah aplikasi dalam talian yang mampu menaik taraf kehidupan golongan petani wanita dalam memasarkan produk tempatan.

Menurut Goon, aplikasi mudah alih yang dibangunkan dengan kerjasama Sekretariat APEC, Kerajaan Chile, The Asia Foundation dan Google berkenaan cukup mudah digunakan.

“Aplikasi ini hanya perlu dimuat turun di telefon bimbit tanpa memerlukan sokongan memori (RAM) yang terlalu besar. Ia mudah digunakan,” kata Goon, ketika ditemui selepas majlis penyampain anugerah di sini, hari ini.

Goon turut berkata, matlamat pengenalan aplikasi Bayu Harvest murni terutamanya untuk menaik taraf kualiti hidup dan pendapatan golongan petani terutamanya di Sabah.

“Latihan komprehensif meliputi pemasaran, penjenamaan semula sedia kami tawarkan,” tambah Goon.

Menurut Pengarah Eksekutif APEC, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria Anugerah Kemakmuran Digital APEC 2019 berpendapat penganugerahan ini adalah cerminan terbaik kepada ekonomi digital menerusi kemakmuran bersama yang menjadi tema utama dalam penganjuran APEC 2020.


Beliau berkata, idea golongan muda perlu dimartabat sekali gus mengenepikan persepsi bahawa APEC merupakan badan serantau yang hanya membangunkan isu-isu dasar rantau Asia Pasifik.

“Ini peluang terbaik untuk memartabat idea-idea golongan muda dan mengubah kehidupan golongan petani luar bandar.

“Bayu Harvest sudah membuktikan ini mampu dicapai seterusnya memperluas jenama ini ke bahagian pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Anugerah Kemakmuran Digital APEC 2020 disampaikan oleh Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob dan Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2019 Chile, Mathias Francke.