KULAI: Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) menyasarkan kutipan RM2.5 juta menerusi program MyQurbani bagi melaksanakan ibadah korban tahun ini untuk diagihkan kepada 13 negara sempena Aidiladha.

Pengurus Besar Operasi MyCARE Roha Hassan berkata bagi menjayakan hasrat itu pihaknya telah melancarkan kempen MyQurbani mulai Jumaat lepas sehingga 25 Jun depan dengan menawarkan pakej korban serendah RM220.

"Istimewanya tahun ini, kita ada pakej tambahan iaitu sedekah sekilogram daging korban bernilai RM80 untuk diedarkan kepada rakyat di Syria dan Palestin disebabkan pakej korban sedia ada untuk kedua-dua negara ini adalah tinggi.

"Ramai rakyat Malaysia sebelum ini mahu membantu rakyat di dua negara berkenaan tetapi terdapat kekangan dari segi bajet, jadi untuk tidak menghampakan harapan mereka kita wujudkan pakej sedekah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri MyCARE Johor dan Pelancaran Kempen MyQurbani peringkat negeri di sini malam tadi. Turut hadir Pengerusi MyCARE Johor Rozi Abdul Ghani.

Roha berkata selain Syria dan Palestin, negara lain yang bakal menerima manfaat daripada program tersebut ialah India, Nepal, Somalia, Sudan, Afghanistan, Yaman dan Malaysia.

Menurut beliau sejak 2010 sehingga April tahun ini, MyCARE berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM180 juta bagi melaksanakan pelbagai usaha kemanusiaan.

Sementara itu, Rozi berkata pada tahun lepas MyCARE Johor menerima 295 penyertaan ibadah korban dengan kutipan sebanyak RM124,960 dan pada tahun ini pihaknya menyasarkan kutipan ibadah tersebut berjumlah RM200,000.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut atau menyertai MyQurbani, boleh melayari laman https://myqurbani.my/ atau hubungi Sekretariat MyQurbani MyCARE di talian 03-89412341 atau menerusi aplikasi WhatsApp MyCARE +6011-12348212.

-- BERNAMA