PUTRAJAYA: Empat syarikat gergasi teknologi Google, Microsoft, Facebook dan Amazon menyatakan kesediaan untuk berkongsi pengalaman dan nasihat dalam menjayakan pelaksanaan MyDIGITAL di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam sesi libat urus adalah membabitkan kesalinghubungan internet, ekosistem pertumbuhan dan perkembangan teknologi tempatan, pengurusan data dan memperbaiki komunikasi dengan orang kurang upaya (OKU).

Dalam memperbaiki komunikasi dengan OKU, beliau mencadangkan syarikat televisyen swasta menggunakan khidmat jurubahasa isyarat terutamanya bagi penyampaian berita.

"Radio Televisyen Malaysia sudah ada jurubahasa isyarat dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) baru sahaja mula.

"Jadi saya ingin menyeru syarikat-syarikat televisyen swasta mengikuti jejak sama, sekurang-kurangnya untuk program berita," katanya dalam sidang media selepas sesi urus libat dengan empat syarikat gergasi di pejabatnya di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, keperluan jurubahasa isyarat adalah sebagai memperbaiki aspek komunikasi dengan golongan tersebut yang dilihat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menurutnya, kementerian beliau menerima pelbagai rungutan bantuan kebajian yang tidak sampai kepada mereka termasuk mengenai pendaftaran dan maklumat mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Oleh kerana zaman dunia digital, kita juga mesti memperbaiki komunikasi kerajaan dalam media sosial dengan golongan OKU," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kebimbangan apabila bakat tempatan yang berhijrah ke tempat lain untuk mendapat sokongan disebabkan ekosistem negara yang tidak begitu membantu.

"Kita tak nak peristiwa lalu berulang contohnya bakat di Malaysia mencipta pendrive (pemacu pena) tapi masa itu ekosistem tidak membantu penciptanya.

"Begitu juga dengan Grab, penciptanya rakyat Malaysia tetapi kerana ekosistem tidak membantu maka dia pergi ke negara lain," kata Saifuddin lagi.