KUALA LUMPUR: Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) komited menjadi peneraju dalam memperkukuh sektor awam dengan perkhidmatan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) terkini melalui MyGovCloud@PDSA (Pusat Data Sektor Awam).

MyGovCloud@PDSA merupakan perkhidmatan cloud hosting yang menyediakan sejumlah sumber (rangkaian, server, storan, sistem operasi) secara maya kepada agensi untuk diuruskan bagi menampung aplikasi yang dibangunkan berasaskan Private Cloud (Cloud Enable).

Timbalan Ketua Pengarah MAMPU, Azih Yusof berkata, selain berperanan mengkonsolidasi pusat data, perkhidmatan itu mampu meningkatkan kecekapan sumber, keselamatan ICT, meningkatkatkan kualiti sistem dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Ia juga merupakan inisiatif di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang menetapkan sasaran 80 peratus penggunaan storan pengkomputeran awan merentas sektor awam pada tahun 2022.

“MyGovCloud@PDSA merupakan kolaborasi strategik antara cloud service provider (CSP) dan manage service provider (MSP) kerajaan. Dilengkapi empat panel CSP komersil, iaitu Microsoft Azure, Google Cloud, TM Cloud Alpha dan Amazon Web Services (AWS) bersama empat panel MSP yang merupakan pemain industri tempatan, iaitu Enfrasys, Awantec, Cloud Connect dan Radmik.

“Ia memberi peluang kepada agensi-agensi sektor awam untuk memanfaatkan teknologi memuncul seperti analitik data, kecerdasan buatan (AI), rantaian blok, Internet Kebendaan (IoT), realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) bermula awal tahun 2022.

“Tambahan, meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 selari teras kesembilan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), iaitu industri, inovasi dan insfratuktur," katanya dalam program AWANI Pagi: Peranan MyGovCloud@PDSA dalam sektor awam, baru-baru ini.


AWANI Pagi : Peranan MyGovCloud@PDSA dalam sektor awam | 29 Nov 2021

Dalam pada itu, tambah Azih, perkhidmatan itu telah berjaya menyediakan platform pengkomputeran awan kepada 208 agensi kerajaan melibatkan agensi Persekutuan, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan dan negeri, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan lebih 491 sistem aplikasi kritikal dan 3367 compute resources.

“Antara perkhidmatan ditawarkan adalah Fizikal & Virtual Server yang menyediakan ruang dan menguruskan perkhidmatan hosting bagi pelayan (server), peralatan keselamatan, komunikasi dan integrasi rangkaian termasuk Pusat Data (DC) dan Pusat Pemulihan Bencana (DRC).

“Selain itu, ia turut bertindak sebagai Backup & Restore bagi pelayan aplikasi yang ditempatkan di PDSA termasuk menyediakan platform perkhidmatan sokongan yang menguruskan dan memantau status pengoperasian peralatan-peralatan sokongan serta infrastruktur PDSA,” katanya.

Jelas Azih lagi, pihaknya telah mengambil alih dan melaksana beberapa inisiatif bagi memperkasakan pengkomputeran awan sektor awam menjelang 2022.

“Antara inisiatif yang telah diambil alih ialah dengan melaksanakan sesi libat urus secara berkala bersama agensi sektor awam dalam menerangkan perkhidmatan awan yang ditawarkan oleh MAMPU.

“Di samping itu, khidmat rundingan dan nasihat untuk menggunakan perkhidmatan awan turut diberikan bagi memastikan sasaran di bawah MyDIGITAL 80 peratus migrasi data awam ke perkhidmatan awan tercapai menjelang 2022.

“Ini selaras dengan Dasar Perkhidmatan Pengkomputeran Awan melalui Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2021 yang telah dikeluarkan pada 10 Jun 2021,” ujarnya lagi.