KUALA LUMPUR: Proses Permintaan Untuk Cadangan (RFP) akan dimulakan selepas tamat Proses Permintaan Maklumat (RFI) yang telah dilanjutkan sehingga 15 Januari 2024 oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan yang sebelum ini adalah Timbalan Menteri Kewangan.

Beliau yang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Negara hari ini, dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini susulan rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya tarikh tutup RFI dilanjutkan daripada tarikh asal pada 15 November bagi membolehkan sektor swasta yang berminat untuk membina dan mengendalikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) mendapatkan masa tambahan untuk membentuk konsortium bersama rakan kongsi berpotensi dan mencari pilihan kewangan.

"Selepas tempoh RFI tamat, proses seterusnya dipanggil RFP. Kita menjangkakan kira-kira sebulan daripada tarikh itu akan ditutup dan kemudian kerajaan akan buat keputusan mengenai syarikat mana yang dapat melaksanakan," katanya.

Ahmad berkata lebih 30 syarikat industri berkaitan termasuk dari China, Jepun, Korea Selatan, Eropah dan pemain tempatan telah menyatakan minat untuk terlibat dengan projek HSR sekali gus menyatakan terdapat keperluan untuk HSR dilaksanakan secepat mungkin.

Berkenaan cukai barang bernilai tinggi, Ahmad berkata Kementerian Kewangan sedang dalam fasa akhir untuk memuktamadkan dasar dan draf perundangan selepas mengambil kira input yang diterima daripada sesi libat urus yang telah dijalankan.

Dasar dan perundangan tersebut dirangka dengan teliti supaya dapat dilaksanakan dengan teratur, mematuhi amalan dan prinsip percukaian semasa dan tidak memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan, katanya.

-- BERNAMA