LANGKAWI: Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) hari ini memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) dan tiga surat hasrat (LOI) bagi merangsang teknologi angkasa di negara ini sempena penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23).

Majlis menandatangani MoU dan LOI itu diadakan di Dewan Prapelancaran, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini dengan disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta timbalan beliau iaitu Datuk Arthur Joseph Kurup.

MoU pertama dimeterai antara MYSA dan Lembaga Koko Malaysia bagi menjalin kerjasama untuk membolehkan serta memantapkan aktiviti perancangan, pengurusan dan pemantauan ke arah pemetaan kawasan ladang koko di Malaysia yang lebih cekap serta berkesan.

MYSA turut berkolaborasi dengan Kumpulan Bantuan Bersama Industri Petroleum Malaysia (PIMMAG) melalui satu lagi MoU bagi perancangan, pemantauan dan pelaksanaan dalam pengurusan tumpahan minyak dengan kaedah yang lebih cekap serta berkesan.

Bagi LOI pula, MYSA akan menjalin kerjasama dengan Kumpulan Gading, UZMA Berhad dan PIESAT Malaysia dalam penyelidikan serta pembangunan bersama selain modal insan untuk menyumbang kepada perkembangan industri angkasa di Malaysia.

Chang berkata kerjasama antara pihak kerajaan, agensi dan syarikat tempatan serta antarabangsa itu sangat bermakna kerana ia akan membantu membangunkan teknologi angkasa di Malaysia.

"Kita sedia maklum bahawa negara berada di peringkat yang amat memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan negara lain untuk membangunkan teknologi angkasa Malaysia dan ini adalah antara inisiatif ke arah pembangunan industri itu," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, beliau dilapor berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangka empat perancangan strategik sektor angkasa ke arah pertumbuhan industri sejajar dengan pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 yang dikoordinasi menerusi Jawatankuasa Angkasa Kebangsaan (JANGKA) dengan pelibatan kementerian dan agensi berkaitan dasar itu.

Katanya perancangan strategik sektor angkasa yang direncanakan itu ialah Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030, Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE 2030), Pelan Strategik Industri Angkasa 2030, Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dan pelibatan MOSTI melalui MYSA dalam LIMA '23 sebagai peneraju Space Tech Nexus.

MSE 2030 menggariskan 15 strategi, 27 inisiatif dan 79 aktiviti utama yang dirancang hingga 2030 dan bakal dilancarkan semasa LIMA'23 serta dapat dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu negara dan dijangka mampu menyumbang hingga satu peratus atau RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar negara menjelang 2030.

-- BERNAMA