KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada ketirisan data direkodkan melibatkan pengguna aplikasi MySejahtera.

Ketika sesi penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021, Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, data pengguna masih lagi selamat walaupun wujud 1.12 juta kali serangan untuk memecah masuk aplikasi MySejahtera.

"Bermaksud MySejahtera yang kita gunakan tersebut adalah selamat.

"Walaupun demikian, terdapat laporan daripada LKAN bahawa tiga juta muat turun (maklumat penerima vaksin). Untuk menjawab persoalan tersebut, laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dilakukan.

"Apa yang saya boleh maklumkan kepada dewan, muat turun tersebut dilakukan oleh 'super admin' terhadap MySejahtera dan saya tak boleh dedahkan hasil siasatan yang sedang dijalankan," katanya pada sesi tersebut di Dewan Rakyat pada Rabu.

Jelas beliau, hak aplikasi MySejahtera adalah sepenuhnya milik KKM, dan penilaian wajar telah dilaksanakan dengan merujuk Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan pandangan undang-undang.

Lukanisman menambah, jenama, logo, serta modul-modul yang dibangunkan di dalam aplikasi berkenaan juga adalah milik kerajaan.

"Langkah ini bertujuan untuk memastikan kesahihan pihak yang akan berkontrak dengan kerajaan dan meneruskan pemilikan aplikasi MySejahtera dan memastikan kepentingan kerajaan terpelihara.

"Kerajaan mempunyai hak penuh ke atas pengguna platform MySejahtera melalui lesen platform kekal tanpa sebarang kos dan kerajaan akan meneruskan pembinaan modul-modul tambahan dalam masa akan datang," katanya lagi.