SEREMBAN: Sebarang perkara berkaitan memperkasa undang-undang syariah di Negeri Sembilan, akan dibuat berpandukan kepada ketetapan jawatankuasa khas yang dibentuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setakat ini, tiada keperluan mewujudkan jawatankuasa di peringkat negeri bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Kita yakin bahawa apa yang Kerajaan Persekutuan lakukan iaitu di bawah MKI sudah mencukupi untuk kita rujuk keputusan selepas ini, kesan atau tindakan yang perlu diambil di peringkat negeri.

"Saya yakin (ketetapan itu) akan lebih tersusun dan berharap (pada) masa akan datang, berapa undang-undang yang ingin kita bawa di peringkat negeri atau enakmen lebih mudah dan teratur, kerana ada panduan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan, yang disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, di sini, malam tadi.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah, dalam menangani isu berbangkit kini, yang penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam itu, telah ditubuhkan atas titah baginda semasa mesyuarat MKI kali ke-70 pada 28 Ogos tahun lepas.

Sultan Sharafuddin bertitah jawatankuasa khas berkenaan telah diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan. - BERNAMA