MALAYSIA
Nadir Al-Nuri sahkan aktivis GSF yang ditahan tentera Israel kini berada di Pelabuhan Ashdod

Nadir Al-Nuri mengesahkan bahawa para peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel mula tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel pada Khamis. - Gambar Facebook Nadir Al-Nuri
SEPANG: Aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri mengesahkan bahawa para peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel mula tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia itu yang mengetuai panji Sumud Nusantara berkata, barisan peguam GSF telah mula menghubungi mereka untuk memberikan khidmat guaman susulan penahanan berkenaan.
"Insya-Allah, wira dan wirawati Sumud yang ditangkap sudah mula sampai ke pelabuhan penjajah di Ashdod. Para peguam GSF telah mula berhubung dengan mereka untuk diberikan khidmat guaman.
"Paling awal, esok pagi kami akan kongsikan perkembangan mereka. Sementara itu, teruskan aksi!" katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam tadi.Muhammad Nadir Al-Nuri bersama tiga lagi sukarelawan Malaysia masih berada di Laut Mediterranian dalam Jong Melayu yang berperanan sebagai kapal pemerhati.
Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan, kesemua 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel ketika menyertai GSF bagi misi menghantar bantuan kemanusiaan berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Mereka ialah penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Danish Nazran Murad (Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (Alma) serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (Sirius).
Selain itu, Razali Awang (Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (Free Willy).
Sementara itu, lima peguam yang juga aktivis undang-undang hak asasi manusia dari Malaysia kini berada di Amman, Jordan bagi memastikan delegasi negara dalam konvoi GSF yang ditahan rejim Israel mendapat perlindungan secara telus dan adil.
Mereka ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Fahmi Abd Moin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.
Pasukan guaman itu akan mewakili delegasi Malaysia yang ditahan sekali gus berurusan dengan para peguam The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) yang berpangkalan di Israel selain bekerjasama dengan peguam antarabangsa bagi proses perundangan berkaitan.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Misi itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa seperti aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon dan Liam Cunningham, bekas Datuk Bandar Barcelona Ada Colau, empat Ahli Parlimen Itali serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean dengan membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami