KUALA LUMPUR:Usaha untuk melombong elemen nadir bumi (REE) tidak seharusnya hanya tertumpu kepada faedah yang diperolehi dari sudut ekonomi semata-mata.

Sebaliknya Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia & Proses, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Dr Mohamad Rizza Othman berkata, aspek keseimbangan alam sekitar dan tanggungjawab sosial juga sewajarnya diberi perhatian.

Jelas beliau, pengalaman di beberapa negara seperti China menunjukkan bahawa aktiviti perlombongan elemen REE terbukti memberi kesan besar kepada alam sekitar.

“Banyak artikel sama ada akhbar atau artikel saintifik menyatakan bahawa nadir bumi ada kesan terhadap alam sekitar.

“Kes seperti di China dan Mongolia, pada tahun 2010 negara-negara ini telah mengharamkan perlombongan haram ataupun perlombongan yang kecil-kecilan, dan mereka menumpukan kepada satu perlombongan yang lebih lestari supaya mengawal dan menyelia aktiviti perlombongan tersebut,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.

Rabu lalu, kerajaan Kedah memaklumkan telah menandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat usaha sama berpangkalan di Kuala Lumpur untuk melombong elemen REE, yang dianggarkan bernilai sehingga RM62 bilion.

Mengulas lanjut, Mohamad Rizza tidak menafikan bahawa industri tersebut mempunyai prospek ekonomi yang besar.

Katanya, REE jenis serium dan lantanum mendapat permintaan tinggi dalam industri petrokimia dan permotoran.

"Dijangkakan 20 hingga 25 tahun akan datang permintaannya akan melonjak 700 peratus, dan ia memang tinggi, itu belum lagi usul-usul lain.

“Ini menjadikan permintaan terhadap nadir bumi sangat tinggi dan banyak negara mencari alternatif selain China sebagai pembekal utama nadir bumi  buat masa ini,” katanya.



Kerajaan pada Julai lalu berkata negara mempunyai rizab galian logam bernilai RM732 bilion dan kerajaan sedang berusaha menerokanya untuk meningkatkan ekonomi negara.

Ia meliputi arang batu, bijih timah, bijih besi, emas, mangan, pasir silika dan kaolin.