PITAHATI bakal mengeluarkan versi deluxe album Bintang Biru Kristal Salju sempena ulang tahun ke-10 penerbitan album tersebut.

Album Bintang Biru Kristal Salju versi deluxe itu akan memuatkan persembahan live kumpulan itu di Galeri Annexe, Pasar Seni pada tahun 2012 lalu.

Waktu itu Pitahati muncul dengan memperkenalkan genre muzik yang unik dan jarang didengari ramai, iaitu muzik yang berteraskan art rock dan avant-garde, yang diwajahi dengan lirik-lirik dalam Bahasa Melayu.

Gaya muzik seperti ini kian digemari dan merebak pada tahun-tahun berikutnya dan membentuk apa yang dikenali para pendengar zaman sekarang sebagai Psychedelic Rock Nusantara.

Lagu Bintang Biru Kristal Salju terus menjadi siulan anak muda dan sering menjadi permintaan penonton setiap kali Pitahati membuat persembahan selain lagu Hati-hati Ahmad yang juga dimuatkan dalam album yang sama.

Selepas Bintang Biru Kristal Salju, Pitahati muncul dengan album kedua, Selamat Datang ke Panggung Suara yang berjaya menarik minat peminat bukan hanya pada muziknya tetapi reka bentuk kulit albumnya.

Album-album Pitahati dikatakan antara album yang menjadi penanda aras dalam muzik Malaysia kerana daya kreativiti, keaslian dan tahap usaha yang tinggi yang diletakkan ke dalam proses pembikinannya, sehingga berulang kali diiktiraf sebagai Album Terbaik pada tahun pelancarannya, oleh para pendengar dan pengkritik muzik yang ada.

Biru Kristal Salju versi deluxe terbitan Luncai Emas ini juga telah diadun semula atau remastered untuk memberikan nafas baru pada sebuah karya Pitahati yang penting dan progresif dalam perjalanan muzik mereka.

Biru Kristal Salju versi deluxe terbitan Luncai Emas ini juga telah diremaster untuk memberikan nafas baru pada sebuah karya Pitahati yang penting dan progresif dalam perjalanan musik mereka.

Album ini mengandungi dua cakera padat (CD) yang mana, CD pertama memuatkan lagu-lagu asal yang telah melewati proses remaster dan CD kedua mengandungi rakaman dari persembahan live mereka di Galeri Annexe, Pasar Seni.

Pitahati juga bakal muncul dengan sebuah single hasil kolaborasi bersama penyanyi legenda Ito Blues Gang dalam bentuk  penggubahan semula lagu hit kumpulan Blues Gang, Khatulistiwa.

Single ini dijangka akan terbitkan pada hujung tahun ini. Selain itu, mereka juga sedang dalam proses pembikinan sebuah album studio yang baru.

Album Bintang Biru Kristal Salju + Live di Galeri Annexe Pasar Seni KL akan berada di pasaran pada 25 Jun 2021 di semua kedai muzik (yang masih ada) di seluruh negara. Maklumat lanjut boleh didapati di laman-laman sosial Pitahati.