SHAH ALAM: Siasatan dan proses mengumpul sisa nahas pesawat Beechcraft 390 yang terhempas di Elmina, dekat sini diteruskan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, operasi di lapangan oleh BSKU itu turut dibantu oleh sekumpulan pakar dari Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, seramai 10 tenaga pakar dari AS tiba di Malaysia pada Ahad malam, seterusnya ke lokasi kemalangan pagi Isnin.

"Pasukan pakar dari AS itu akan berada di negara ini antara tujuh hingga 10 hari bagi menjalankan siasatan.

"Proses siasatan kemungkinan akan mengambil masa kerana banyak komponen kecil masih ada di lokasi kejadian," katanya dalam sidang akhbar ringkas pada Isnin.

Siasatan dijalankan BSKU bagi mengenal pasti punca nahas pesawat Beechcraft 390.

Mohd Iqbal berkata, selain pakar AS, terdapat lapan petugas daripada BSKU terlibat secara langsung di lapangan.

Menurutnya lagi, dua wakil syarikat pengurusan insurans dari Singapura turut turun ke lokasi kejadian bagi membuat penilaian.

Kata beliau, semua barang kes akan dibawa ke hangar untuk siasatan dan analisa lanjut.

Tambahnya lagi, wakil syarikat daripada pemilik pesawat akan berada di lokasi kejadian pada Isnin.

Mohd Iqbal berkata, proses mengutip sisa kemalangan dijangka disiapkan sepenuhnya hari ini berdasarkan maklumat daripada BSKU.

Meskipun proses kerja lapangan akan siap pada hari ini, katanya, pihak polis akan terus berada di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

Jelasnya, polis tidak mahu sebarang aktiviti atau kehadiran pihak tidak berkenaan di tapak kejadian.

"Polis akan terus memberi kerjasama terbaik bagi memastikan urusan di tempat kejadian berjalan lancar.

"Malah unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membantu pihak berkuasa menguruskan kes kemalangan pesawat ini," ujarnya. -Sinar Harian