MALAYSIA
Nahas Gua Musang: 'Nor Syuhada menangis tanya anak-anak dan suami'

Empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan dengan sebuah treler di Gua Musang selesai dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 12 tengah malam Isnin. - Foto Sinar Harian
PASIR MAS: "Nor Syuhada ada tanya mengenai anak-anak serta suami dan saya ceritakan kejadian yang berlaku."
Ringkasan AI
- Kemalangan tragis di Felda Chiku 1, Gua Musang meragut nyawa suami Tuan Nor Syuhada, dua anaknya dan adik ipar, manakala beliau cedera parah namun kini sudah sedar dan boleh bercakap selepas pembedahan.
- Tuan Nor Syuhada sempat menatap jenazah suami dan anak-anaknya buat kali terakhir di Hospital Gua Musang, walaupun dalam keadaan kritikal dan penuh emosi.
- Jenazah empat mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Pasir Mas, dengan ibu mangsa, Tuan Ruzila, menyatakan kesyukuran dan berharap anaknya terus kuat semangat untuk pulih.
Menurut Tuan Ruzila, Tuan Nor Syuhada mula menangis tetapi dia memujuknya untuk menziarahi kubur anak-anak selepas kembali.
Jelasnya, anaknya kini sudah sedar selepas menjalani pembedahan selepas kritikal dan patah beberapa bahagian badan termasuk rahang dan tulang rusuk akibat kemalangan itu.
Tuan Ruzila bersyukur kerana anaknya itu sempat menyentuh dan menatap kali terakhir jenazah dua anak serta suaminya ketika berada di Hospital Gua Musang.
Tuan Nor Syuhada juga sudah boleh bercakap selepas pembedahan.
"Saya berharap dia terus kuat semangat untuk sembuh," katanya.
Menurut Tuan Ruzila, kali terakhir dia berjumpa anak, menantu serta cucunya lima hari lepas sebelum mereka bertolak ke Kuala Lumpur.
Katanya lagi, dua cucunya, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5 dan Muhammad Aydan Fattah, 4, sangat rapat dengannya dan memanggilnya sebagai Tok Mi.
"Saya sempat memandikan jenazah mereka di hospital walaupun terpaksa berulang-alik menjenguk Tuan Nor Syuhada," katanya.
Tuan Ruzila yang juga seorang Sarjan polis di Balai Polis Pasir Mas juga bersyukur kerana semua cucu dan menantunya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Dalam kemalangan berkenaan, suami Tuan Nor Syuhada Muhammad Faiz Nor Amran, 31, turut maut.
Media sebelum ini melaporkan empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan dengan sebuah treler di Gua Musang selesai dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 12 tengah malam Isnin.
Jenazah sebelum itu dikebumikan di Madrasah Ar-Rahman di sini selepas dibawa dari Hospital Gua Musang dengan van jenazah. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami