Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter Ulu Baram: CAAM sahkan helikopter Layang Layang Aerospace miliki rekod kelayakan udara

Norazman berkata, pengendali helikopter, Layang Layang Aerospace, mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggantung operasi seluruh helikopter jenis BO105 serta pesawat lain yang menggunakan enjin Rolls-Royce siri 250. - Foto Ikhwan Lee
Norazman berkata, pengendali helikopter, Layang Layang Aerospace, mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggantung operasi seluruh helikopter jenis BO105 serta pesawat lain yang menggunakan enjin Rolls-Royce siri 250. - Foto Ikhwan Lee

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan helikopter yang terhempas di Long Lellang, Baram, Sarawak, Selasa lalu mempunyai rekod kelayakan udara yang sah ketika kejadian.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, Perakuan Kelayakan Udara helikopter itu sah sehingga 4 Ogos 2027, manakala Perakuan Pendaftaran pula sehingga 28 Julai 2029.

Menurutnya, pengendali helikopter, Layang Layang Aerospace, mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggantung operasi seluruh helikopter jenis BO105 serta pesawat lain dalam armadanya yang menggunakan enjin Rolls-Royce siri 250..

"Bagaimanapun tindakan itu adalah langkah keselamatan secara berjaga-jaga dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petunjuk yang enjin atau mana-mana komponen tertentu menjadi punca nahas," katanya kepada pemberita selepas majlis Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 (MASS'26) di sini pada Khamis.

Menurut Norazman, dari perspektif kelayakan udara, usia pesawat semata-mata bukan faktor penentu, selagi pesawat diselenggara dengan baik mengikut program penyelenggaraan yang diluluskan dan terus memenuhi semua keperluan kelayakan udara ditetapkan.

"Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi sama ada nahas berpunca daripada masalah teknikal, keadaan cuaca, faktor manusia atau faktor lain," katanya.

Menyentuh kebimbangan awam berhubung usia pesawat, Norazman berkata, faktor umur semata-mata bukan penentu utama dari sudut kelayakan udara.

Sebaliknya, katanya, aspek penting adalah penyelenggaraan pesawat mengikut program yang diluluskan serta pematuhan berterusan terhadap semua keperluan kelayakan udara yang ditetapkan.

"Selagi pesawat diselenggara dengan baik mengikut program penyelenggaraan yang diluluskan dan terus memenuhi semua keperluan kelayakan udara, usia pesawat bukanlah faktor penentu," katanya.

Beliau berkata, CAAM kini memantau penggantungan operasi dan pemeriksaan yang dijalankan pengendali, selain mengesahkan semua rekod kawal selia berkaitan pesawat, pengendali dan juruterbang.

Dalam kejadian Selasa lalu, helikopter Flying Doctor Service (FDS) jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang, Sarawak, mengorbankan semua yang berada di dalam pesawat.

Must Watch Video

Advertisement