Nahas Segamat: Nur Ghaziyah patah tulang pinggul, kaki selain parah di kepala

Astro Awani
Disember 15, 2017 09:01 MYT
Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, 3, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan lima ahli keluarganya di Segamat mengalami kecederaan parah di kepala selain patah tulang pinggul dan kaki.
Bapa saudaranya, Muhammad Taqiyuddin Dzulkarnain berkata, seluruh ahli keluarga berdoa agar Nur Ghaziyah kembali sembuh serta doktor bertugas berusaha memberi rawatan terbaik kepada kanak-kanak itu.
"Keadaannya masih lagi kritikal dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
"Para doktor berusaha memberikan rawatan terbaik agar Nur Ghaziyah kembali sembuh," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
BACA: Kemalangan maut lima sekeluarga: Kereta hilang kawalan bertembung bas ekspres - polis
BACA: Jenazah lima mangsa kemalangan dituntut keluarga selesai bedah siasat
Dalam kejadian jam 6.11 petang itu, Nur Ghaziyah bersama lima anggota keluarganya yang lain dalam perjalanan pulang ke Kluang dari Muadzam Shah, Pahang sebelum kereta yang dipandu bapanya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 176, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat.
Ia menyebabkan ayahnya, Muhamad Abu Dujanah Dzulkarnain, 30; Zinnirah Abdul Hamid (ibu), 28; Nur Maghfirah (kakak), 6; dan Muhammad Abu Ajwad (abang), 4 meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, Nur Alia Humairah Muhamad Abu Dujanah yang baru berusia tiga bulan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Segamat.
BACA: Nahas Segamat: Tunggu cucu balik, yang sampai jenazah mereka
BACA: Jenazah lima sekeluarga dikebumi satu liang lahad
Jenazah kelima-lima anggota keluarga Nur Ghaziyah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan dekat Kluang pada jam 2.35 petang semalam.
#bas ekspres #jenazah #kemalangan #Kluang #maut #Segamat