NATIONAL
Nahas trak FRU: Kertas siasatan lengkap, kini menanti tindakan mahkamah - JSPT

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden kemalangan tragis sehingga meragut nyawa sembilan anggota FRU, kata Mohd Yusri. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden kemalangan tragis sehingga meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, pada Selasa lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemandu berkenaan, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, telah dituduh dan Mahkamah akan memutuskan sebutan semula kes.
“Pihak JSPT telah lengkapkan siasatan dan kertas telah dibawa ke Mahkamah dan pemandu telah dituduh.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan siasatan yang telah melengkapkan kertas siasatan yang begitu cepat, lengkap,” katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang media Amanat kepada petugas sumber manusia sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), di sini, pada Isnin.
Dalam sidang media sama, beliau turut memuji kecekapan badan agensi Kerajaan termasuk pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dalam membantu melengkapkan kertas siasatan.
“Jadi sekarang saya serahkan kepada mahkamah untuk proses seterusnya.
“Biar mahkamah buat keputusan. Sekarang ini, mahkamah sudah beri jamin kepada (majikan), perbicaraan akan berlangsung secara berkala,” katanya.
Kemalangan pada 8.50 pagi 13 Mei lalu menyaksikan sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki mereka dirempuh sebuah lori membawa muatan batu semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam.
Jumaat lalu, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU di Mahkamah Majistret Teluk Intan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Hino telah memandu dengan cara berbahaya hingga mengakibatkan kematian kepada S Perumal, 44: Mohd Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34, dan Amiruddin Zabri, 38.
Turut terkorban, Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM sentiasa bekerjasama dengan JPJ untuk mengadakan operasi bersepadu dalam usaha mengurangkan kesalahan dari pengguna kenderaan perdagangan khususnya lori.
"Operasi untuk kenderaan berat ini sebenarnya kita telah buat sejak dulu lagi secara berkala, iaitu Ops Kenderaan Perdagangan yang melibatkan kenderaan berat seperti lori , pengangkutan awam seperti bas dan sebagainya bersama dengan JPJ.
"Kita jalankan operasi yang baik bersama JPJ bagi memastikan pemandu-pemandu ini mematuhi peraturan undang-undang jalan raya dan juga memastikan kenderaan yang mereka bawa seperti lori, bas dan sebagainya berada dalam keadaan yang baik, sempurna, teknikalnya pun bagus, yang boleh berada di atas jalan raya dengan selamat," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami