MALAYSIA
Nahas trak FRU: Trak tidak dilengkapi tali pinggang keledar - Laporan

Laporan menyatakan ketiadaan elemen keselamatan pasif ini dipercayai telah secara signifikan meningkatkan risiko kecederaan serius. - Foto fail.
KUALA LUMPUR : Bangku di bahagian belakang trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak dilengkapi tali pinggang keledar merupakan antara faktor menyebabkan sembilan anggota maut dalam kemalangan di Teluk Intan 13 Mei lalu.
Ringkasan AI
- Ketiadaan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang trak FRU meningkatkan risiko kecederaan serius dan kematian dalam kemalangan.
- Kemalangan berlaku apabila lori membawa batu kerikil memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan trak FRU, menyebabkan penumpang tercampak dan mengalami hentaman sekunder.
- Laporan mengesyorkan pematuhan penggunaan tali pinggang keledar dalam semua kenderaan kerajaan serta mempertimbangkan penggunaan bas bagi pergerakan bukan operasi.
“Pemeriksaan fizikal ke atas bahagian dalaman kabin belakang Lori FRU mendapati tempat duduk jenis bangku (bench seat) yang dipasang tidak dilengkapi dengan sistem kekangan (restraint system) seperti tali pinggang keledar.
“Ketiadaan elemen keselamatan pasif ini dipercayai telah secara signifikan meningkatkan risiko kecederaan serius terhadap penumpang yang duduk di bahagian tersebut semasa pelanggaran berlaku,” katanya.
Berdasarkan maklumat siasatan, semasa impak berlaku, sebahagian besar penumpang dipercayai telah tercampak ke bahagian hadapan kiri kabin belakang.
“Keadaan ini mengakibatkan pelbagai hentaman sekunder, termasuk pelanggaran antara penumpang serta dengan permukaan dalaman kabin, yang menyumbang kepada tahap kecederaan yang parah dalam kalangan penumpang,” katanya.
Selain itu, siasatan turut mendapati bahawa tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan, termasuk di bahagian pemandu dan penumpang hadapan trak FRU.
Ketiadaan kemudahan tali pinggang keledar ini merupakan risiko keselamatan yang ketara kepada pemandu dan penumpang kenderaan.
Menurut Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan & Penggunaan) 1959, pembinaan tempat duduk dan tambatan mesti mematuhi Peraturan United Nations (UN) No. 17 dan bagi kenderaan perkhidmatan awam, UN No. 80.
Bagaimanapun, kenderaan khas seperti kenderaan polis, tentera, bomba, dan ambulans adalah dikecualikan.
Pengesahan spesifikasi penuh Lori FRU (WKP3705) tidak dapat dilakukan sepenuhnya kerana kenderaan milik kerajaan tidak wajib mendapat kelulusan Pelan Teknikal atau pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM).
Laporan tersebut turut menyatakan rekod pemeriksaan dan penyelenggaraan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum diterima, menyukarkan penilaian keselamatan.
Pasukan Petugas Khas turut menyatakan trak FRU itu mempunyai 27 kapasiti tempat duduk iaitu tiga di kabin, manakala 24 di bahagian kargo.
Laporan itu juga mengesyorkan agar agensi dan jabatan kerajaan memastikan pemakaian tali pinggang keledar dalam semua kenderaan milik kerajaan dipatuhi sepenuhnya.
Malah laporan mengesyorkan agar mempertimbangkan opsyen penggunaan bas bagi pergerakan pentadbiran dan bukan operasi yang melibatkan penumpang, khususnya untuk tujuan rasmi kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami