MALAYSIA
NAHRIM lancar Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI

Penganjuran Karnival Kampung Angkat MADANI NAHRIM di Terengganu dilihat sebagai penghubung agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan masyarakat kampung.
KUALA TERENGGANU: Lebih 500 orang hadir ke Majlis Pelancaran dan Karnival Kampung Angkat MADANI (KAM) yang berlangsung meriah di Kampung Bukit dan Kampung Tayor Tengah, Ulu Nerus, baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Lebih 500 orang hadir ke Majlis Pelancaran dan Karnival Kampung Angkat MADANI (KAM) anjuran NAHRIM di Kampung Bukit dan Kampung Tayor Tengah, dengan pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur dan sistem bekalan air alternatif berasaskan nilai Malaysia MADANI.
- Ketua Pengarah NAHRIM, Datuk Ir Mohd Zaki Mat Amin menekankan peranan program ini sebagai jambatan antara agensi kerajaan dan komuniti dalam semangat gotong-royong serta pendidikan perubahan iklim melalui penyelidikan dan inovasi sumber air.
- Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) NAHRIM turut dilancarkan di SK Durian Burung dengan kerjasama PIBG dan pentadbiran sekolah bagi menaik taraf fasiliti dan menyokong pembangunan sahsiah murid, disokong oleh Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.
Menurut Mohd Zaki, kemajuan negara bukan sekadar angka ekonomi, tetapi turut bergantung kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, program ini menjadi jambatan antara agensi kerajaan dan komuniti kampung dalam semangat gotong-royong dan tanggungjawab bersama.
“Sebagai institusi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), NAHRIM menjalankan penyelidikan dan inovasi dalam bidang sumber air serta impak perubahan iklim. Hasil kajian kami banyak membantu pengurusan sumber air, pengurangan risiko banjir dan hakisan, serta meningkatkan kesedaran perubahan iklim melalui pendidikan komuniti,” katanya dalam ucapan ketika majlis berkenaan.
Karnival yang bermula seawal jam 7 pagi itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran penyelidikan dan produk air NAHRIM, sukan rakyat, sukaneka, gerai jualan desa dan cabutan bertuah.
Aktiviti gotong-royong dan rewang rakyat yang dikendalikan oleh JPKKP dan JPKK turut diadakan sehari sebelum acara utama berkenaan.
Dalam majlis sama, Mohd Zaki turut melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) NAHRIM bersempena Hari Terbuka Sekolah Kebangsaan Durian Burung, Kuala Terengganu.
Inisiatif ini melibatkan kerjasama dengan PIBG dan pentadbiran sekolah bagi menaik taraf fasiliti fizikal serta menyokong aktiviti sahsiah dan pembelajaran murid.
“Sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan membentuk sahsiah dan jati diri. Melalui SAM NAHRIM, kita ingin memperkukuh penglibatan komuniti, pembudayaan ilmu dan pemerkasaan warga sekolah dalam kerangka nilai MADANI,” ujarnya.
Pelaksanaan SAM NAHRIM turut mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami