KUALA LUMPUR: Industri perbankan menggesa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas dengan konflik Asia Barat yang berterusan agar menghubungi bank masing-masing pada peringkat awal bagi meneroka jalan penyelesaian yang bersesuaian, termasuk bantuan pembayaran balik, penstrukturan semula dan sokongan modal kerja.
Menurut Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), mereka kekal komited untuk menyokong pelanggan mereka ketika tempoh mencabar ini, dan memastikan perniagaan yang berdaya maju terus mendapat akses kepada pembiayaan dan bantuan.
Advertisement
“Pihak industri amat menggalakkan PMKS yang terjejas untuk memanfaatkan peluang ini bagi membantu mengekalkan perniagaan mereka,” menurut persatuan terbabit dalam satu kenyataan bersama hari ini berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) iaitu kemudahan pembiayaan sebanyak RM5 bilion bagi membantu PMKS.
Menurut kenyataan itu, inisiatif tersebut melengkapi sokongan berterusan industri perbankan terhadap PMKS ketika mereka berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
Pada masa sama, industri perbankan menyatakan bahawa mereka turut mengambil langkah proaktif melibatkan pelanggan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan sokongan yang tersedia.
“Permohonan untuk SME SRF boleh dibuat menerusi bank-bank yang mengambil bahagian bermula 15 Mei 2026 dan PMKS boleh merujuk lawan web BNM untuk mendapatkan senarai bank terlibat di https://www.bnm.gov.my/funds4sme atau menghubungi bank mereka secara langsung,” katanya.
-- BERNAMA