Naik taraf aset Askar Wataniah strategi penting - Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan titah pada Majlis Santapan Malam Rejimental PALAPES Universiti Malaysia Perlis di Alor Setar malam tadi. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Usaha menaik taraf aset Rejimen Askar Wataniah disifatkan sebagai strategi penting bagi memperkukuh keupayaan operasi dan kesiapsiagaan pasukan simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Ringkasan AI
- Menaik taraf aset Rejimen Askar Wataniah untuk memperkukuh kesiapsiagaan pasukan simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan penambahbaikan fasiliti, peralatan, serta penerapan teknologi baharu.
- Askar Wataniah sentiasa bersedia menyokong TDM dalam mobilisasi dan operasi ketenteraan, termasuk dalam keadaan darurat, peperangan, atau operasi keselamatan moden yang kompleks.
- Penglibatan pegawai muda dalam Askar Wataniah penting untuk memperkukuh disiplin, semangat patriotisme, serta integrasi keselamatan negara melalui konsep Whole-of-Government, Whole-of-Society (WOGOS).
Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam Rejimental PALAPES Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Turut hadir Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli serta Timbalan Komandan PALAPES UniMAP Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, sebagai pasukan simpanan TDM, Askar Wataniah sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan bagi menyokong operasi ketenteraan, sama ada dalam keadaan darurat, peperangan atau operasi keselamatan moden yang semakin kompleks.
"Peranan ini melangkaui fungsi sebagai backup force, dengan turut menyumbang kepakaran dalam bidang risikan, logistik dan pertahanan di peringkat tempatan, menjadikan Askar Wataniah komponen penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara," titah baginda.
Baginda yang juga Tuanku Canselor UniMAP menekankan elemen pakar Askar Wataniah turut memperkukuh kesiapsiagaan negara melalui penglibatan aktif dalam mobilisasi nasional.
"UniMAP kini diberi kepercayaan untuk meneroka bidang aeronautik, sekali gus memperluas kepakaran yang dapat menyokong keperluan dan operasi ketenteraan negara," titah baginda.
Baginda bertitah penglibatan tersebut mencerminkan kecekapan, kepakaran, serta kesepaduan erat antara komponen pertahanan dan sektor awam dalam menjayakan konsep pertahanan menyeluruh negara.
Sempena Majlis Santapan Malam Rejimental PALAPES, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitah pesanan kepada para pegawai muda supaya terus aktif selepas ditauliahkan dengan melibatkan diri dalam Rejimen Askar Wataniah di kawasan masing-masing.
Menurut baginda penglibatan berterusan sangat penting bagi memastikan kesinambungan disiplin, semangat patriotisme, serta komitmen terhadap pertahanan negara.
Baginda bertitah, selain memperkukuh jati diri dan nilai kepimpinan yang telah diasah semasa latihan, keterlibatan itu turut mempertingkat kesiapsiagaan pertahanan negara, di samping memperkasa integrasi keselamatan negara secara holistik.
"Selaras dengan konsep Whole-of-Government, Whole-of-Society (WOGOS), penglibatan pegawai muda dalam Askar Wataniah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pertahanan negara secara menyeluruh melalui platform dinamik angkatan tentera simpanan.
"Pendekatan itu menuntut penyertaan semua lapisan masyarakat dan agensi kerajaan bagi memastikan kesiapsiagaan negara berada pada tahap tertinggi," titah baginda.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


