SHAH ALAM : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam berbanding menghapuskan pencen mereka.

Beliau berkata, gaji golongan itu tidak dinaikkan sejak 2013 selain berdepan cabaran lain seperti tempat tinggal yang daif.

Malah bekas Menteri Belia dan Sukan itu membandingkan gaji jururawat di Singapura yang lebih tinggi daripada doktor pakar sektor penjagaan kesihatan awam di Malaysia.

Oleh sebab itu katanya, Malaysia telah kehilangan ribuan tenaga pakar kerana mereka lebih gemar berkhidmat di luar negara.

“Menteri boleh menerima dua hingga tiga pencen, di peringkat Persekutuan, negeri dan ratusan ribu elaun tahunan. Siap ada jawatan dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

"Itu pun (dapat) pencen kekal, sedangkan baru masuk pejabat.

“Tetapi penjawat awam yang hanya berpendapatan RM1,500, bekerja pagi dan malam, menetap di kuarters yang daif, bekerja puluhan tahun, dinafikan pencen. Adil atau tidak?" katanya dalam video yang dimuat naik di laman Facebook pada Khamis.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjawat awam baharu tidak lagi menerima pencen sebaliknya akan mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, langkah tersebut akan meringankan beban kewangan kerajaan dengan mengurangkan bayaran pencen yang dijangka mencecah RM120 bilion pada 2040 tanpa sebarang perubahan kepada sistem.

Dalam pada itu Syed Saaddiq turut senada dengan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dengan mendesak pencen wakil rakyat dan menteri dimansuhkan berbanding penjawat awam.

"Nasib penjawat awam umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Jangan hanya raikan mereka apabila musim pilihan raya, apabila berjaya menyelamatkan nyawa kita semasa musim COVID-19.

"Tetapi bila sudah habis, kita lupakan mereka, tikam dari belakang. Politik berubah tetapi penjawat awam kekal," ujarnya. - Sinar Harian